Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi penyelenggaraan supaya memperkukuh kerjasama dengan pakar bertauliah bagi melaksanakan penilaian teknikal berkala terhadap pokok matang dan cerun di sepanjang jalan persekutuan. Gesaan itu dibuat susulan insiden pokok tumbang di Laluan FT68 Jalan Lama Bentong–Kuala Lumpur semalam yang mengorbankan empat sekeluarga, termasuk Ketua Pemuda Umno Maran, Edy Radzi.
Penilaian berkala perlu jadi sebahagian pengurusan aset jalan raya
Young Syefura berkata, penilaian berkala terhadap kesihatan pokok, kestabilan akar dan struktur tanah perlu dijadikan sebahagian daripada pengurusan aset jalan raya. Ini bagi membolehkan tindakan rawatan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan bersasar.
Beliau menegaskan, skop penyelenggaraan berkala juga wajar diperluaskan untuk merangkumi pemantauan vegetasi matang serta keadaan cerun dari aspek geoteknikal. Langkah ini penting khususnya sebagai persediaan menghadapi cuaca ekstrem dan musim hujan yang semakin tidak menentu.
Seruan kepada pemegang taruh tempatan
“Saya juga menyeru pemegang taruh di kawasan tumpuan pelancongan dan pihak berkepentingan tempatan untuk bersama-sama menyumbang maklumat awal berhubung pokok berisiko di kawasan sekitar demi tindakan awal pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari semalam, empat sekeluarga termasuk Edy Radzi bersama isteri, anak serta adik iparnya maut selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang. Kejadian itu berlaku di laluan yang menjadi nadi perhubungan penting bagi Bentong.
FT68 laluan alternatif kritikal
Young Syefura menjelaskan, laluan FT68 bukan sahaja menyambungkan kawasan pelancongan utama tetapi juga bertindak sebagai laluan alternatif kritikal setiap kali berlaku kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak. Faktor geografi yang dikelilingi kawasan berbukit dan pokok matang menjadikan isu kestabilan cerun serta risiko pokok tumbang sentiasa menjadi keutamaan yang dibincangkan, termasuk dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan pembangunan daerah (JTPD).
“Insiden semalam menegaskan lagi keperluan untuk kita memperkukuhkan langkah pencegahan sedia ada secara lebih menyeluruh. Saya juga akan terus membawa perkara ini ke peringkat kementerian serta menyusuli pelaksanaan tindakan pemantauan ini di dalam mesyuarat JTPD Bentong yang akan datang,” katanya.



