Draf Dasar Kesihatan Mental Tempat Kerja Dijangka Siap September atau Oktober
Draf Dasar Kesihatan Mental Tempat Kerja Siap September Oktober

Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk memuktamadkan draf dasar kesihatan mental di tempat kerja pada September atau Oktober 2026, selepas sesi libat urus bersama kementerian, agensi dan pihak berkepentingan lain selesai dijalankan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sesi libat urus itu akan melibatkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Tempoh Masa Mencukupi untuk Pembangunan Dasar

Beliau berkata tempoh masa yang ditetapkan membolehkan kementerian membangunkan dasar dan garis panduan yang komprehensif bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan harmoni.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kita melihat garis masa sekitar September atau Oktober untuk memberi pasukan kami masa yang mencukupi untuk menjalankan sesi libat urus dan seterusnya membangunkan dasar serta garis panduan.

“Ini sangat penting kerana cabaran kesihatan mental perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sambutan Merdeka KKM 2026 peringkat Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zuraida Mohamed, di Hospital Rembau hari ini.

Langkaui Perkhidmatan Kaunseling

Pada 15 Julai lalu, Dzulkefly berkata KKM merancang untuk membangunkan dasar kesihatan mental di tempat kerja bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan harmoni selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Mengulas mengenai cadangan agar dasar itu melangkaui perkhidmatan kaunseling, Dzulkefly berkata kementerian akan memastikan ia turut mengambil kira pelbagai aspek termasuk keseimbangan kerja-kehidupan dan mekanisme sokongan untuk pekerja.

Beliau berkata dasar itu bertujuan memastikan tempat kerja mempunyai kapasiti untuk menyediakan persekitaran yang menyokong kesejahteraan mental pekerja, di samping membantu mengurangkan risiko keletihan dan beban kerja yang berlebihan.

Perkukuh Perkhidmatan Hospital Secara Menyeluruh

Dalam perkembangan berasingan, Dzulkefly berkata KKM akan terus memperkukuh perkhidmatan hospital di seluruh negara melalui konsep hospital kluster, di mana pakar dari hospital utama memberikan perkhidmatan di hospital bukan pakar.

Beliau berkata hospital bukan pakar juga akan dinaik taraf secara berperingkat menjadi hospital dengan perkhidmatan pakar terpilih, berdasarkan keperluan, permintaan dan kesesuaian.

“Penambahbaikan tidak terhad kepada menaik taraf hospital untuk menyediakan perkhidmatan pakar terpilih, tetapi juga melibatkan pengukuhan disiplin pakar, termasuk pediatrik, obstetrik dan ginekologi (O&G), oftalmologi, serta perkhidmatan telinga, hidung dan tekak (ENT),” katanya.

Dzulkefly berkata pendekatan itu tidak semestinya melibatkan pembinaan hospital baharu atau penambahan blok baharu, tetapi juga akan memberi tumpuan kepada meningkatkan kapasiti perkhidmatan pakar dan mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan primer.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga