KUALA LUMPUR, 18 Mei — Pemain beregu campuran utama negara, Toh Ee Wei, mencari inspirasi sebelum Malaysia Masters 2026 dengan menemui juara muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali, pada satu acara sukan tempur di Negeri Sembilan baru-baru ini.
Pertemuan dengan Jojo
Ee Wei berkata pertemuan dengan pemenang pingat emas Sukan SEA 2025 Thailand dalam kategori 57 kilogram (kg) yang lebih dikenali sebagai Jojo itu digunakan untuk bertukar pandangan, terutamanya mengenai cara menangani kritikan orang ramai apabila tidak memberikan persembahan terbaik.
“Saya berbual dengan Jojo dan dia benar-benar atlet yang luar biasa. Dia seorang pejuang dan saya berharap saya juga boleh menjadi pejuang di gelanggang.
“Perjalanan kami nampak agak sama. Ramai orang kritik dan marah dengan kami. Tidak kira sama ada kami dikritik atau apa pun, yang penting kami ada disiplin, berlatih keras dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk negara,” katanya.
Ee Wei berkata demikian pada sesi ujian gelanggang Malaysia Masters 2026, dengan kejohanan dijadualkan bermula esok hingga 24 Mei di Unifi Arena di sini, hari ini.
Dia dan Jojo juga berkongsi gambar pertemuan mereka di akaun Instagram masing-masing.
Persediaan untuk Malaysia Masters
Sementara itu, pemain berusia 25 tahun itu berkata dia dan pasangannya, Chen Tang Jie, bersedia sepenuhnya untuk menentang mana-mana pasangan dalam Malaysia Masters tahun ini.
“Tidak kira siapa yang kami lawan, sebaik sahaja kami melangkah ke gelanggang, kami akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Juara dunia semasa, yang diunggulkan kedua dalam kejohanan Super 500 itu, akan memulakan kempen mereka menentang pasangan ranking ke-56 dunia, Jonathan Lai-Crystal Lai dari Kanada, pada pusingan pertama.
Malaysia Masters 2026 menawarkan jumlah hadiah wang tunai AS$500,000 (RM1.98 juta). — Bernama



