Lagu 'Aku Berjanji' Faizal Tahir dipilih sebagai tema Merdeka 2026
Faizal Tahir 'Aku Berjanji' tema Merdeka 2026

IPOH, 19 Julai — Lagu berjudul Aku Berjanji, gubahan dan persembahan Faizal Tahir, telah dipilih sebagai lagu tema patriotik bagi sambutan Bulan Kebangsaan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Pelancaran di Ipoh

Lagu ini dipersembahkan buat pertama kali di hadapan umum pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2026, yang berlangsung di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Menurut Faizal, lagu ini membawa mesej kebersamaan, perpaduan dan semangat cintakan negara dalam usaha mempertahankan kedaulatan tanah air.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Penghargaan selepas 20 tahun

“Alhamdulillah, lagu yang saya hasilkan bersama pasukan saya terpilih sebagai lagu tema kebangsaan tahun ini. Ia satu penghormatan buat saya, selepas hampir 20 tahun dalam industri, dapat menyumbang sesuatu.

“Semoga lagu ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan menyatukan kita melalui seni muzik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas acara itu.

Proses penghasilan lagu

Beliau berkata, penghasilan lagu berdurasi dua minit 29 saat itu mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan, manakala idea untuk mencipta karya bertemakan semangat kebangsaan mula terbentuk sekitar Mei.

Faizal sebelum ini mencipta nama selepas muncul sebagai naib juara program realiti One In A Million pada 2006 dan kemudian memenangi Anugerah Juara Lagu 2008 menerusi lagunya bertajuk Sampai Syurga.

Muat turun melalui portal Merdeka360

Lagu Aku Berjanji boleh dimuat turun oleh orang ramai melalui portal Merdeka360 mulai jam 12.30 tengah hari ini.

Lirik Aku Berjanji

Aku berjanji
Dan ku bersumpah setia
Demi tuhan dan negara
Akan ku korbankan jiwa

Aku berjanji
Akan satukan semua
Kita pertahan bersama
Tanah air yang tercinta

Korus:
Semangat waja
Kan ku pertaruhkan nyawa
Demi sejahtera semua
Negaraku yang merdeka

Terus melangkah
Tetap terpahat di dada
Kita sejahtera bersama
Malaysia

Aku berjanji
Kepada ibu pertiwi
Kekal perpaduan ini
Teras semangat madani

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga