Polis patahkan sindiket pemalsuan permit kerja dan kad UNHCR di Kedah
Polis patahkan sindiket palsu permit kerja, kad UNHCR

ALOR SETAR: Polis berjaya mematahkan kegiatan sindiket yang dipercayai mengeluarkan permit kerja dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu yang didalangi warga asing. Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata beberapa serbuan di sekitar Kulim dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada bulan lepas, dan menahan 19 lelaki warga Bangladesh, empat termasuk seorang wanita etnik Rohingya, dan seorang wanita tempatan berusia antara 20 hingga 52 tahun.

Serbuan di empat lokasi

“Serbuan dilakukan di empat lokasi termasuk sebuah kedai runcit, kedai komputer dan rumah yang dijadikan tempat penginapan sementara bagi warga asing. Hasil siasatan mendapati sindiket itu dikendalikan seorang warga Bangladesh yang mempunyai dokumen perjalanan lengkap dan berkahwin dengan wanita tempatan berusia 69 tahun. “Suspek utama itu juga dipercayai mempunyai syarikat pembinaan bertaraf G7 dan kedai runcit dengan menggunakan nama isterinya bagi melayakkan permohonan pekerja asing dibuat secara sah,” katanya pada sidang media di IPK Kedah.

Bayaran antara RM80 hingga RM250

Beliau berkata suspek dipercayai mengambil kesempatan dengan mengeluarkan permit kerja serta kad UNHCR palsu kepada warga asing yang sanggup membayar antara RM80 hingga RM250 bagi setiap dokumen. “Dalam operasi itu, polis turut merampas 40 pasport, 10 telefon bimbit, empat komputer riba serta satu permit kerja palsu. Seorang lagi suspek utama warga Bangladesh yang mempunyai empat kedai komputer di Kulim, Sungai Petani dan Butterworth, Pulau Pinang telah melarikan diri dan sedang diburu polis.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Perisian ubah suai dokumen

“Hasil siasatan terhadap komputer riba yang dirampas menemukan dokumen berkaitan permohonan UNHCR, templat kosong serta perisian yang digunakan untuk mengubah suai dan menghasilkan dokumen palsu kepada warga asing yang lain,” katanya. Adzli berkata semakan mendapati sindiket ini menggunakan identiti berbeza pada pasport dan kad UNHCR berkenaan, bagaimanapun gambar yang digunakan adalah individu yang sama.

Beroperasi sejak 2018

“Sindiket ini dipercayai mula beroperasi sejak 2018. Mereka dikesan membawa masuk warga asing melalui jalan tikus bagi mengelak dikesan penguat kuasa sebelum menyediakan dokumen bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini. “Semua tangkapan direman hingga 21 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan polis turut meneliti tindakan lanjut termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,” katanya.

Pembanterasan penyeludupan migran

Dalam pada itu, polis giat membanteras kegiatan penyeludupan migran dengan 116 tekong dan ahli sindiket berjaya ditahan sejak 2023. “Sebanyak 25 tekong ditahan bersama 125 migran pada 2023; 44 tekong dan 171 migran pada 2024; dan 47 tekong bersama 222 migran pada 2025. Dari Januari hingga Jun tahun ini pula, sebanyak 37 tekong dan ahli sindiket bersama 246 migran telah ditahan. “Hasil kawalan ketat di kawasan perairan Langkawi sejak beberapa bulan lepas telah berjaya mengurangkan jumlah pendaratan migran secara besar-besaran. Bagaimanapun, sindiket ini telah mengubah modus operandi dan mendarat di kawasan lain seperti Kuala Kedah, Kerpan, Yan dan Kuala Muda,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga