KUCHING, 28 Mei — Pasukan Gerakan Am (GOF) Briged Sarawak berjaya merampas lebih 342,000 liter diesel bernilai kira-kira RM1.8 juta menerusi Op Tiris yang dijalankan di beberapa lokasi di Sarawak sejak 16 Mac hingga Selasa.
Rampasan aset bernilai RM17.5 juta
Komandernya, SAC Lim Bak Phai memaklumkan bahawa pelbagai aset dan peralatan, termasuk lori tangki, jentera berat dan tangki gelincir bernilai hampir RM17.5 juta turut dirampas.
“Briged merekodkan 58 kes dengan 69 tangkapan sepanjang operasi, dan salah satu kejayaan besar ialah rampasan sebuah bot tunda di Bintulu yang digunakan untuk menyimpan 20,000 liter diesel tanpa permit sah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rampasan minyak masak dan gula
Operasi itu juga mencatatkan rampasan lebih 5 tan minyak masak bersubsidi bernilai hampir RM40,000 dan lebih 7 tan gula kasar bernilai lebih RM31,000 dengan jumlah nilai rampasan RM950,000.
“Operasi ini juga berjaya mengesan pelbagai modus operandi yang digunakan sindiket termasuk menyimpan, memindah dan mengedar diesel tanpa permit yang dipercayai melibatkan rangkaian penyelewengan barang kawalan di negeri ini,” katanya.
Semua suspek yang ditangkap dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. — Bernama



