SKMM naik taraf gentian optik atasi isyarat penuh tanpa internet
SKMM naik taraf gentian optik atasi isyarat penuh tanpa internet

Langkah menaik taraf rangkaian gentian optik

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bersama pemberi perkhidmatan sedang melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan bagi mengatasi masalah pengguna menerima isyarat telefon penuh, tetapi tiada capaian internet. Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata antara langkah dilaksanakan bagi mengatasi masalah kegagalan talian teras itu ialah menaik taraf rangkaian penghantaran menggunakan gentian optik berkapasiti tinggi.

Beliau berkata, langkah itu turut melibatkan pelaksanaan jaringan lewah dan penyediaan laluan penghantaran alternatif bagi mengurangkan risiko atau titik kegagalan tunggal. “Isu ketiadaan akses internet walaupun pengguna menerima isyarat telefon kuat atau ‘full bars’ boleh berlaku akibat beberapa faktor yang menjejaskan kualiti perkhidmatan,” katanya menjawab soalan Anyi Ngau (GPS-Baram) yang meminta Kementerian Komunikasi menyatakan pelan tuntas mengatasi masalah kegagalan talian teras itu pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Faktor kesesakan kapasiti dan gangguan fizikal

Teo berkata, situasi itu boleh berlaku akibat kesesakan kapasiti rangkaian disebabkan penggunaan data tinggi serta gangguan atau kerosakan pada talian penghantaran. Faktor fizikal lain yang turut menyumbang ialah insiden pemotongan kabel gentian optik, vandalisme, kecurian, bencana alam, ancaman binatang liar dan kerja pembinaan. “Selain faktor rangkaian, pengalaman pengguna turut dipengaruhi keadaan peranti, tetapan telefon, jenis pelan langganan serta baki kuota data tersedia.”

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Peningkatan kemudahan sokongan dan keselamatan menara

Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan jika berlaku gangguan, jelasnya, SKMM turut menaik taraf kemudahan sokongan seperti sistem jana kuasa sandaran, selain semua tapak komunikasi dipantau secara berterusan oleh pemberi perkhidmatan melalui Pusat Pemantauan Rangkaian yang beroperasi 24 jam. “Bagi meningkatkan keselamatan menara di bawah inisiatif Pelan Jendela, pemberi perkhidmatan mengambil langkah memperkasakan tapak menara komunikasi berisiko dengan pemasangan kelengkapan antikecurian dan vandalisme seperti pemasangan sesalur besi untuk mengelakkan kabel tembaga dipotong dan dicuri.”

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga