PETALING JAYA: Lapan pelajar lelaki direman dua hari bagi membantu siasatan pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada dakwaan penyebaran gambar dan video lucah yang disunting menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Perintah tahanan dikeluarkan di Mahkamah Majistret Tawau
Perintah reman sehingga 17 Julai dikeluarkan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret Tawau untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan bersenjata, lapor Sinar Harian.
Polis menerima maklumat mengenai video berdurasi 27 saat yang tular di WhatsApp menunjukkan beberapa pelajar bergaduh dengan seorang lelaki yang kelihatan menggunakan helmet sebagai senjata di kawasan perniagaan di Batu 5, Jalan Apas.
Tangkapan dibuat petang semalam
Kesemua pelajar berusia 13 dan 14 tahun itu ditangkap kira-kira jam 3 petang semalam. Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai tercetus akibat pertikaian berhubung dakwaan penyebaran gambar dan video lucah suntingan AI.
Kandungan tersebut dipercayai menggunakan wajah dua individu sebelum disebarkan di media sosial, mencetuskan ketegangan antara dua pihak yang terlibat.
Polis nafi kewujudan video suntingan AI
Bagaimanapun, siasatan lanjut polis mendapati tiada video suntingan AI seperti yang didakwa ditemui di mana-mana platform media sosial. Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.



