PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita berusia 80-an hari ini kerana memandu melawan arus di Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shamsudin Mamat, berkata wanita itu ditahan selepas satu video kejadian itu tular di media sosial. Menurut siasatan awal, wanita tersebut dikatakan tersesat dalam perjalanan pulang ke rumah sekitar jam 9:30 malam di KM10.8 lebuh raya tersebut.
“Dia kemudian memandu melawan arus untuk mencari jalan keluar dari lebuh raya DASH. Tiada kemalangan yang melibatkan kenderaan suspek dilaporkan,” katanya seperti dipetik Bernama.
Shamsudin berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Beliau menggesa saksi untuk menghubungi balai polis berdekatan, pegawai penyiasat S Jayseelan di 018-258-2531, atau Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di 03-7966-2222.
Dalam video tular, sebuah Perodua Kenari kelihatan dipandu melawan arus di lebuh raya sebelum dihentikan oleh seorang penunggang motosikal.



