Annuar sindir langkah ‘taktikal’ Umno
Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa, menyindir parti lamanya berhubung beberapa tindakan yang didakwanya direstui namun kemudiannya ditarik balik oleh Presiden Umno, Zahid Hamidi. Annuar yang juga ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, tindakan-tindakan tersebut merupakan langkah taktikal demi persepsi politik, terutamanya disebabkan hubungan Umno dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Beliau merujuk kepada peletakan jawatan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh sebagai exco Melaka pada Januari lepas, kemelut politik Negeri Sembilan bulan lepas, dan pengisytiharan Barisan Nasional Johor untuk bergerak solo pada PRN akan datang.
“Akmal ‘resigned’ exco tolak DAP, presiden ‘overrule’,” katanya menerusi hantaran di Facebook. “(Ketua BN Negeri Sembilan) Jalaluddin Alias tolak MB (menteri besar) PKR, presiden ‘reversed’. “(Selepas itu) Onn Hafiz Ghazi (ketua BN Johor isytihar) ‘go solo’ (pada PRN) … presiden? Itu namanya ‘tactical’ je.”
Akmal meletak jawatan sebagai exco Melaka pada Januari untuk ‘melawan DAP habis-habisan’, namun ditolak oleh Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh tiga bulan kemudian. Bulan lepas, Umno Negeri Sembilan cuba menyingkirkan Aminuddin Harun sebagai menteri besar dengan menarik balik sokongan, tetapi kepimpinan pusat kemudian menyatakan akan terus menyokong pentadbiran perpaduan Aminuddin demi kestabilan politik.
Jumaat lepas, Onn Hafiz mengumumkan bahawa BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang, yang berpotensi mencetuskan pertembungan dengan PH walaupun kedua-dua gabungan itu merupakan sekutu pada peringkat persekutuan. Zahid belum mengulas mengenai perkara itu, namun Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir hari ini berkata, keputusan tersebut bukan satu pengkhianatan terhadap kerajaan perpaduan persekutuan.
Pengerusi PH Anwar Ibrahim dijangka membincangkan pengumuman BN Johor tersebut dengan Zahid.



