PETALING JAYA: Juara Piala Dunia Kelab FIFA, Chelsea, akan menentang juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam perlawanan persahabatan pada 11 Ogos 2026. Perlawanan ini merupakan pemanasan pra-musim penting bagi Chelsea menjelang kempen 2026/27, dan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Ia juga menjadi ujian baik buat JDT, juara Piala AFC, apabila berdepan kelab Eropah terkemuka. Perlawanan ini dianjurkan oleh TEG Sport. Chelsea, yang baru melantik pengurus baharu, Xabi Alonso, merupakan satu-satunya kelab yang pernah memenangi setiap trofi utama dalam era moden.
Pete Nuttall, pengarah operasi bola sepak Chelsea, berkata mereka gembira dapat memasukkan perlawanan ini sebagai perlawanan terakhir jelajah pra-musim, dan membuat lawatan pertama ke Malaysia sejak perlawanan persahabatan pada 2013. “Bola sepak mempunyai pengikut yang sangat bersemangat di rantau ini, dan ini adalah peluang hebat bagi penyokong kami di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara untuk melihat pasukan beraksi sekali lagi sebelum musim baharu,” katanya.
CEO JDT, Luis Garcia, berkata mereka berbangga dan berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada salah satu kelab terbaik Liga Perdana Inggeris. Garcia berkata perlawanan ini bukan sahaja pencapaian besar buat JDT, tetapi juga mencerminkan peningkatan status mereka dalam bola sepak Asia. “Kami menantikan perlawanan ini, yang merupakan salah satu daripada banyak lagi yang akan datang. Chelsea bukan sahaja akan menikmati layanan mesra JDT dan kemudahan terkini yang kami miliki, tetapi juga negeri Johor yang indah,” katanya.
Pengarah urusan TEG Sport, Rachael Carroll, mengucapkan terima kasih kepada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atas sokongan padu dalam membawa perlawanan ini ke Johor. Peminat bola sepak boleh mendaftar untuk akses pra-jualan eksklusif dengan TEG Sport di tegsport.com.au untuk menerima berita dan kemas kini terkini.
Tiket untuk ahli kelab penyokong Chelsea dan JDT akan mula dijual esok jam 10 pagi. Orang ramai boleh membeli tiket pada Jumaat mulai tengah hari. Harga tiket bermula pada RM154, dengan lima pilihan tempat duduk tersedia sehingga RM1,254 untuk tempat duduk VIP, dan boleh dibeli melalui Tickethotline.com.my.



