AKPS siasat dakwaan pegawai terima RM100 melalui QR peribadi di KLIA2
AKPS siasat pegawai terima RM100 melalui QR peribadi

Agensi Kawalan Sempadan dan Perlindungan Malaysia (AKPS) telah memulakan siasatan dalaman terhadap dakwaan salah laku dan penyalahgunaan kuasa membabitkan seorang pegawainya yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Dakwaan bayaran RM100 melalui kod QR peribadi

Komander Pintu Masuk AKPS KLIA, Mohd Safrie Zakaria, berkata Bahagian Integriti AKPS KLIA memulakan siasatan sebaik sahaja agensi itu menyedari ciapan viral di Threads yang mendakwa seorang pegawai menerima RM100 melalui pembayaran kod QR ke akaun bank peribadi pegawai itu pada Sabtu lepas.

“Siasatan dalaman yang menyeluruh dan terperinci telah dimulakan dengan segera oleh Bahagian Integriti AKPS KLIA bagi memastikan fakta dapat ditentukan dan ketelusan sepanjang proses siasatan terjamin.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Pegawai yang dikaitkan dengan dakwaan itu telah dipanggil oleh pengurusan tertinggi AKPS KLIA untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemilik akaun Threads gagal dihubungi

Beliau menambah, pemilik akaun Threads, @brayenngabriel, telah dihubungi kira-kira jam 11 pagi semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut tetapi tiada respons diterima setakat jam 4 petang ini.

Mohd Safrie menegaskan bahawa AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang didapati melanggar prinsip integriti, menyalahgunakan kuasa atau gagal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Jika siasatan mengesahkan bahawa salah laku telah berlaku, tindakan tatatertib dan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Orang ramai diminta tampil bantu siasatan

Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu untuk tampil ke hadapan dan membantu siasatan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga