Sistem Awan Kurangkan Waktu Menunggu Pesakit di Klinik Awam
Sistem Awan Kurangkan Waktu Menunggu Pesakit

Pelaksanaan Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) di klinik kesihatan kerajaan berjaya mengurangkan masa menunggu pesakit, dengan 81 peratus pesakit kini dapat berjumpa pegawai perubatan dalam tempoh 60 minit.

Peningkatan Kecekapan Perkhidmatan Kesihatan Awam

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata penggunaan Sistem Maklumat Pergigian (DIS) di klinik pergigian dan Sistem Maklumat Hospital Daerah (DHIS) di hospital turut meningkatkan kecekapan perkhidmatan sambil membantu menangani masalah masa menunggu yang panjang dan kesesakan di fasiliti kesihatan awam.

Beliau berkata sebelum CCMS diperkenalkan, pesakit di sesetengah klinik kesihatan terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk berjumpa pegawai perubatan, bergantung kepada jumlah pesakit dan beban kerja klinik.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

"Data pemantauan semasa menunjukkan 81 peratus pesakit dapat berjumpa pegawai perubatan dalam masa 60 minit, manakala baki 19 peratus menerima rawatan dalam tempoh 60 hingga 90 minit, bergantung kepada tahap kes serius dan beban kerja klinik," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Perancangan Perluasan Digitalisasi Kesihatan

Beliau menjawab soalan daripada Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai keberkesanan inisiatif digitalisasi penjagaan kesihatan awam, termasuk MySejahtera dan rekod kesihatan elektronik, dalam mengurangkan kesesakan di hospital awam.

Hanifah Hajar berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperluas digitalisasi penjagaan kesihatan, dengan rancangan untuk melaksanakan CCMS di 2,917 klinik kesihatan dan DIS di 728 klinik pergigian di seluruh negara menjelang 2028.

Peranan MySejahtera dalam Mengurangkan Kesesakan

Mengenai MySejahtera, beliau berkata aplikasi itu membolehkan orang ramai membuat janji temu untuk 18 jenis perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan dan klinik pergigian.

Beliau berkata platform itu telah merekodkan 29 juta transaksi janji temu setakat ini, dengan perkhidmatan itu akan diperluas ke klinik pakar di hospital.

KKM juga sedang mengintegrasikan CCMS dengan MySejahtera, yang kini menyimpan rekod kesihatan kira-kira 30 juta individu. Rekod tersebut termasuk butiran vaksinasi, 12 juta rekod preskripsi, lima juta rekod pergigian, lima juta rekod saringan kesihatan dan satu juta ringkasan lawatan klinik, membolehkan akses lebih mudah kepada maklumat pesakit, rawatan lebih pantas dan kesinambungan penjagaan yang lebih baik merentas fasiliti kesihatan.

Pelaksanaan di Sarawak

Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai pelaksanaan sistem digital di fasiliti kesihatan awam di Sarawak, Hanifah Hajar berkata 174 klinik kesihatan dan 11 klinik pergigian di negeri itu telah menggunakan sistem tersebut.

Bagi hospital, beliau berkata DHIS kini sedang dilaksanakan di sebuah hospital di Sarawak dan akan diperluas ke 151 hospital di seluruh negara menjelang 2030. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga