Kritikan terhadap RUU FOI
Seorang aktivis hak sivil mengkritik Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini atas kegagalan mengiktiraf FOI sebagai hak berperlembagaan. Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata Fasal 22 RUU itu menyatakan tiada apa-apa dalam akta itu boleh ditafsirkan sebagai membentuk kebebasan asasi di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.
“Daripada memperkukuhkan demokrasi berperlembagaan, undang-undang itu sebaliknya kelihatan menjauhkan diri daripadanya dengan menafikan secara jelas sebarang kaitan antara akses kepada maklumat dan jaminan perlembagaan mengenai kebebasan bersuara di bawah Perkara 10. “Hakikatnya, kerajaan sedang memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat yang sengaja mengelak pengiktirafan kebebasan maklumat sebagai hak berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Kesalahan jenayah penggunaan maklumat
Pushpan turut mengkritik RUU itu kerana menjadikan penggunaan maklumat yang diperoleh secara sah untuk “tujuan berbeza daripada dinyatakan dalam permohonan asalnya” sebagai kesalahan jenayah. “Maklumat kerap mendedahkan fakta baharu yang tidak pernah dijangkakan ketika permohonan dikemukakan. “Menjenayahkan penggunaan maklumat itu selepas diperolehi bukan saja tidak seimbang, bahkan pada asasnya bercanggah dengan prinsip ketelusan, kewartawanan penyiasatan dan akauntabiliti demokratik.”
Menurut RUU itu, yang salinannya telah dimuat naik ke laman web Parlimen, mana-mana individu “menggunakan maklumat diperolehi di bawah akta ini dengan cara bertentangan tujuan permohonan” boleh didenda sehingga RM100,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Prinsip kebebasan maklumat
Pushpan berhujah, undang-undang kebebasan maklumat berdasarkan prinsip maklumat yang dipegang kerajaan adalah “milik rakyat secara automatik, melainkan terdapat alasan kukuh untuk menahannya”. “Prinsip itu diiktiraf di seluruh demokrasi matang dan tercermin dalam piawaian hak asasi manusia antarabangsa. “Tetapi, RUU itu dengan jelas menyatakan ia tidak mewujudkan sebarang hak substantif untuk mendapatkan maklumat, mengekalkan Akta Rahsia Rasmi sepenuhnya, memperkenalkan pengecualian luas tanpa ujian kemudaratan yang bermakna atau mengatasi kepentingan awam, bahkan mewajibkan pemohon menyatakan sebab mereka mencari maklumat.”
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, hari ini dilaporkan berkata kerajaan akan mengemukakan usul untuk merujuk RUU FOI kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen esok untuk penellitian lebih menyeluruh. Katanya, RUU itu akan dibincangkan dalam sesi libat urus bersama Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan. Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum pelbagai pandangan dikemukakan pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan berhubung beberapa aspek RUU itu.



