Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming percaya DAP akan berdepan tekanan yang semakin kuat untuk menarik diri daripada kerajaan Madani sekiranya Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas pilihan raya negeri.
Tekanan terhadap DAP
Bercakap dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap, pemimpin DAP itu berkata persoalan utama ialah sama ada BN mampu memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian, atau dengan sokongan terhad daripada Perikatan Nasional (PN), selepas PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
“Saya fikir (kemenangan BN) akan memberi tekanan yang amat besar kepada DAP untuk meninggalkan kerajaan,” katanya.
“Ia juga akan memberi alasan bukan sahaja kepada BN, malah mungkin juga kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), untuk berhujah bahawa dengan ketiadaan lima menteri dan tujuh timbalan menteri daripada DAP, kerajaan tidak lagi stabil, sekali gus mencadangkan supaya perdana menteri membubarkan Parlimen.
“Saya fikir itu adalah perkembangan yang sangat berkemungkinan berlaku.”
Kongres Khas DAP
Pada Februari lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata 4,000 perwakilan yang menghadiri kongres khas parti pada 12 Ogos, yang asalnya dijadualkan pada 12 Julai, akan mengundi bagi menentukan sama ada pemimpin DAP perlu meletakkan jawatan sebagai menteri, timbalan menteri, exco, ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) serta lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pengumuman Loke dibuat kira-kira dua bulan selepas beliau berkata DAP akan bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bagi mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan selepas DAP dan Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan besar pada PRN Sabah.
DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandinginya pada PRN Sabah November lalu. Parti itu juga menyaksikan jumlah kerusinya di Johor merosot daripada 10 kepada enam pada PRN Sabtu lalu, selepas kehilangan tiga kerusi kepada MCA (Tangkak, Jementah dan Johor Jaya) serta satu kerusi kepada MIC (Perling), namun berjaya mempertahankan Bentayan, Mengkibol, Stulang, Penggaram, Senai dan Skudai.
Keputusan di Negeri Sembilan
Ditanya sama ada sekarang merupakan masa terbaik untuk DAP meninggalkan kerajaan, Ong berkata parti itu mungkin terpaksa membuat keputusan sedemikian sekiranya PH kalah dalam PRN Negeri Sembilan.
PH dan BN masing-masing akan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos. Pada PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi, BN 14 dan PN memenangi lima kerusi.
“Apa yang mungkin cuba dilakukan DAP, atau mungkin terpaksa dilakukan, ialah membolehkan perwakilan pada kongres khas parti pada 16 Ogos mengundi sama ada DAP perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan Madani,” katanya.
“Jika mereka meletakkan jawatan, mereka mungkin berpeluang mendapatkan semula kedudukan moral yang lebih kukuh dan berkempen secara bebas.
“Itu mungkin sesuatu yang DAP terpaksa lakukan, dan saya fikir kebarangkaliannya akan meningkat jika PH tewas di Negeri Sembilan.”



