Letupan sasar kereta api tentera di Pakistan, 24 maut
Letupan sasar kereta api tentera Pakistan, 24 maut

QUETTA, 24 Mei — Sekurang-kurangnya 24 orang terkorban dalam satu letupan yang menyasarkan kereta api yang membawa anggota tentera di wilayah barat daya Pakistan yang bergolak, Balochistan, kata seorang pegawai kanan hari ini.

Anggota tentera darat termasuk dalam kalangan mangsa serangan di ibu kota wilayah Quetta itu, yang turut menyebabkan lebih 50 orang cedera, kata pegawai itu kepada AFP.

Gambar-gambar menunjukkan sebuah gerabak kereta api yang hancur terbalik, manakala orang ramai memanjat bangkai kereta api untuk mencari mangsa yang terselamat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Orang ramai kelihatan membawa mangsa yang berlumuran darah di atas usungan menjauhi gerabak yang terkeluar landasan, sementara pasukan keselamatan bersenjata menjaga kawasan itu.

Pegawai itu memberitahu AFP bahawa kereta api yang membawa anggota tentera dan keluarga mereka itu dalam perjalanan dari Quetta ke Peshawar di barat laut Pakistan.

Kereta api itu sedang melalui isyarat di Chaman Pattak di Quetta “apabila sebuah kereta berisi bahan letupan melanggar salah satu gerabak yang mengakibatkan letupan besar”, kata pegawai itu.

Tingkap-tingkap pecah dan kenderaan berhampiran musnah dalam letupan itu.

Seorang lagi pegawai memberitahu AFP bahawa anggota tentera itu dalam perjalanan untuk menyambut cuti Aidilfitri, yang dijangka bermula pada hari Selasa.

Balochistan adalah wilayah termiskin di Pakistan dan terbesar dari segi keluasan tanah. Ia ketinggalan di belakang seluruh negara dalam hampir setiap indeks, termasuk pendidikan, pekerjaan dan pembangunan ekonomi.

Pemisah Baloch menuduh kerajaan Pakistan mengeksploitasi gas asli dan sumber mineral yang melimpah di wilayah itu tanpa memberi manfaat kepada penduduk tempatan. — AFP

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Anda Mungkin Juga Suka

  • Berita berkaitan