HELSINKI: Satu dron tidak dikenali disyaki melanggar ruang udara Finland di Virolahti, berhampiran sempadan dengan Rusia, awal pagi tadi, kata kementerian pertahanan negara itu.
Menurut satu kenyataan kementerian, angkatan udara Finland mengesan dron tersebut pada awal pagi. “Model dan asal usul dron itu tidak dapat dikenal pasti,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa dron tersebut tidak lagi berada di ruang udara Finland.
Insiden itu kini disiasat oleh pengawal sempadan Finland, namun tiada maklumat lanjut diberikan. Finland mempunyai sempadan sepanjang 1,340 kilometer dengan Rusia.
Sementara itu, kementerian pertahanan Rusia hari ini memaklumkan bahawa unit pertahanan udara tentera telah memintas 334 dron Ukraine sepanjang malam di kira-kira 15 wilayah, termasuk beberapa yang berhampiran Saint Petersburg, sekitar 150 kilometer dari Virolahti.
Pada bulan Mac lalu, Ukraine memohon maaf kepada Helsinki selepas dua dron Ukraine terhempas di selatan Finland, yang mungkin terpesong akibat gangguan Rusia.



