MIRI, 22 Julai — Seorang lagi mangsa insiden bot karam di Sungai Seperot, berhampiran Long San, Baram, ditemui lemas hari ini, menjadikan jumlah kematian dua orang, manakala dua lagi masih hilang.
Mangsa kedua dikenal pasti
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa yang ditemui ialah Joshua Uken Mathew, 38, yang merupakan bapa kepada mangsa pertama, Jovian Jangin Joshua, 4 tahun, yang ditemui lemas semalam.
Menurut kenyataan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menerima maklumat pada pukul 1 petang bahawa penduduk kampung menemui mayat di tebing sungai sekitar pukul 9 pagi tadi, kira-kira dua jam perjalanan bot dari lokasi bot dipercayai karam.
"Mayat tidak dapat dibawa segera ke Klinik Kesihatan Long San disebabkan paras air tinggi dan arus deras akibat hujan lebat di hulu sungai."
"Anggota bomba kemudian menggunakan bot kampung untuk sampai ke lokasi sebelum mengeluarkan mayat menggunakan usungan," menurut kenyataan itu.
Proses pengecaman dan pemindahan
JBPM menambah bahawa mayat dikenal pasti oleh ahli keluarga dan disahkan oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Long Na’ah. Mayat kemudiannya diangkut oleh polis bersama keluarga ke kediaman mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda, tiba sekitar pukul 4.30 petang.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada hari Isnin, empat individu dari Kampung Long Selatong dilaporkan dalam perjalanan dengan bot ke Klinik Kesihatan Long San sebelum gagal pulang dan tidak dapat dihubungi. Penduduk kampung kemudian menemui bot yang dipercayai digunakan mangsa dalam keadaan karam di Sungai Seperot.
Dua mangsa masih hilang
Dua mangsa yang masih belum ditemui ialah Jonathan Nyurang Lusut, 45, dan Ceria Dullah, 43. — Bernama



