Dua kumpulan automotif utama di Thailand telah mendesak kerajaan Bangkok untuk memberi keutamaan dan melindungi pemain tempatan dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) berikutan kemasukan import EV murah, terutamanya dari China. Automotive Industry Club of the Federation of Thai Industries (FTI) mencadangkan potongan cukai untuk penggunaan komponen tempatan, manakala Thai Automotive Industry Association (TAIA) menyeru kenaikan duti ke atas EV import untuk melindungi pengeluar tempatan.
Cadangan TAIA dan FTI
Presiden TAIA, Yuphin Boonsirichan, menyeru kerajaan Bangkok untuk menstruktur semula duti yang dikenakan ke atas EV import sepenuhnya bagi melindungi pengeluar tempatan dan pembekal komponen. Beliau menggesa kerajaan Thailand melancarkan kempen menggalakkan pembelian EV yang dipasang di dalam negara, termasuk melalui insentif cukai, seperti yang dilaporkan oleh Bangkok Post. Yuphin juga mencadangkan agensi kerajaan mendapatkan EV yang dipasang secara tempatan untuk merangsang pertumbuhan sektor itu.
Sementara itu, Pengerusi Automotive Industry Club, Suwat Supakandechakul, berkata komponen asas seperti tempat duduk kereta, pendawaian dan cermin depan harus diperoleh secara tempatan untuk memastikan kualiti dan mengurangkan kos pengeluaran. Suwat menambah bahawa komponen bernilai tinggi yang sudah dikilangkan di Thailand, seperti casis kenderaan, juga harus diutamakan. “Kerajaan harus menggalakkan penggunaan bahagian-bahagian ini, dengan perbelanjaan boleh ditolak cukai,” katanya, sambil menegaskan bahawa ini perlu untuk melindungi kedudukan Thailand sebagai hab automotif serantau.
Kebimbangan tarif AS dan perbandingan dengan Malaysia
Suwat juga membangkitkan kebimbangan mengenai potensi tarif AS akibat penghantaran semula (transshipment), di mana produk dengan komponen import dipasang di Thailand sebelum dihantar ke AS. Beliau berkata FTI sedang mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa parlimen Thailand mengenai langkah tarif sambil mendesak peraturan yang lebih ketat terhadap pengeluaran EV untuk melindungi industri tempatan.
Seruan daripada kumpulan automotif Thailand ini menyusul keputusan Malaysia untuk mengenakan dua syarat baharu bagi import EV siap sepenuhnya (CBU) selepas tamat tempoh pengecualian khas empat tahun pada 31 Disember 2025. Sejak 1 Julai, semua EV CBU import tertakluk kepada nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000. Syarat kedua ialah ambang kuasa motor minimum diturunkan kepada 180kW daripada 200kW sebelum ini. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terus memberikan pengecualian 100% duti import, duti eksais dan cukai jualan untuk EV dipasang tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2027.



