Pertanyaan kerap daripada pelanggan tentang tempat menarik di Klang memberi inspirasi kepada Choon Guan Hainan Coffee 1956 untuk menghasilkan kopi botol yang dibalut label dengan 10 tarikan di bandar diraja itu.
Label Pelbagai Kaum
Pemilik generasi ketiga kedai kopi itu, David Kan Yew Weng, 34, memilih pelbagai lokasi ikonik termasuk rumah ibadat pelbagai komuniti sebagai simbol keharmonian yang sinonim dengan bandar ini.
Antara lokasi yang dipaparkan ialah Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Istana Alam Shah, Tokong Kwan Inn, Gereja Our Lady of Lourdes, Little India Klang dan Galeria Diraja Sultan Abdul Aziz.
“Ramai pelanggan yang datang ke kedai bertanya ke mana mereka boleh pergi selepas makan di Klang. Pada masa itu, saya sendiri sukar menjawab. Ketika itulah saya terfikir, kenapa tidak gunakan produk kami untuk membantu mempromosikan Klang,” katanya kepada Bernama.
Beliau juga percaya peniaga tempatan boleh memainkan peranan dalam mempromosikan sektor pelancongan tanpa perlu bergantung kepada pihak lain.
Kopitiam Sebagai Ruang Sosial
Yang lebih penting, usahawan muda itu percaya kedai kopi tradisional masih relevan sebagai ruang sosial untuk masyarakat pelbagai kaum di Malaysia jika diperbaharui melalui operasi moden, kawalan kualiti lebih baik dan pilihan menu yang lebih sihat.
“Saya membesar di kedai kopi ini dan sejak kecil, saya lihat orang Melayu, Cina dan India duduk di meja yang sama sambil makan, minum kopi dan bercakap tentang pelbagai perkara... daripada isu semasa dan politik hingga hal keluarga.
“Kadang-kadang, apabila kedai sesak, pelanggan tidak keberatan berkongsi meja walaupun mereka berlainan kaum. Sebab itu saya menggabungkan identiti pelbagai komuniti pada pembalut kopi botol sebagai mesej bahawa Klang sebenarnya harmoni dan berkembang dalam kepelbagaian,” katanya.
Cabaran Pensijilan Halal
Menjelaskan lebih lanjut, graduan Universiti Monash Malaysia itu berkata pada mulanya beliau mendapat tentangan daripada keluarganya, termasuk ibunya, selepas meninggalkan pekerjaan di firma perundingan untuk menguruskan kedai kopi pada 2017.
“Mereka menghantar saya melanjutkan pelajaran tinggi kerana mahu saya bekerja di syarikat besar. Jadi apabila saya pulang dan mengambil alih kedai kopi, ramai yang marah dan mempersoalkan keputusan saya,” katanya.
Choon Guan Hainan Coffee 1956, yang beroperasi di Pandamaran sejak penubuhannya, membuka cawangan pertama di Bandar Bukit Raja pada 2024 bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Kan berkata selama hampir lima tahun, beliau berusaha mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tetapi berdepan cabaran kerana kedai terletak berhampiran pasar basah.
Namun, dengan bimbingan Perbadanan Pembangunan Halal Berhad dan i-Mesra dalam memenuhi keperluan pensijilan halal yang ketat, beliau berharap jenama keluarga itu akan terus berkembang menjadi produk yang boleh dibanggakan oleh Klang.



