Silinder ammonia 400 liter tidak ditutup rapat punca kebocoran gas di kilang ais Ipoh
Silinder ammonia tidak tutup sempurna punca bocor gas kilang ais

IPOH: Kebocoran gas ammonia dan tumpahan bahan kimia di sebuah kilang pembuatan ais di Kawasan Perindustrian Menglembu hari ini berpunca daripada sebuah silinder gas ammonia berkapasiti 400 liter yang tidak ditutup dengan sempurna.

Punca kebocoran dan tindakan awal

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.32 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, kebocoran itu berpunca daripada sebuah silinder gas ammonia berkapasiti 400 liter yang tidak ditutup hingga menyebabkan pelepasan tekanan gas tidak dapat dikawal serta berlaku tumpahan kira-kira tujuh liter ammonia.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Bacaan kepekatan gas ammonia

Hasil pemantauan awal mendapati bacaan kepekatan gas ammonia di bahagian dalam kilang mencecah 300 bahagian sejuta (ppm) manakala bacaan di luar premis ialah 100 ppm. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini, kata Sabarodzi dalam kenyataan.

Dua anggota Hazmat yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) kemudian memasuki kawasan berisiko bagi menutup injap pada silinder gas berkenaan, sekali gus menghentikan pelepasan gas.

Proses kawalan tumpahan dan pembersihan

Pasukan tersebut turut menjalankan kerja mengawal tumpahan menggunakan bahan penyerap kimia sebelum mengutip sisa bahan berbahaya itu untuk dimasukkan ke dalam ‘salvage drum’ bagi tujuan pelupusan secara selamat.

Susulan tindakan itu, bacaan kepekatan gas di dalam kilang menurun kepada 250 ppm manakala bacaan di luar premis tidak lagi dikesan oleh peralatan pemantauan, jelas Sabarodzi.

Beliau berkata, operasi pemantauan dan kerja mengawal tumpahan diteruskan bagi memastikan kawasan premis benar-benar selamat sebelum operasi ditamatkan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga