Media sosial jadi platform galak masyarakat tanam makanan sendiri
Media sosial galak masyarakat tanam makanan sendiri

Di tengah kebimbangan terhadap krisis bekalan makanan global, seorang pengusaha kebun tampil mengajak orang ramai kembali kepada asas dengan menanam makanan sendiri di rumah melalui perkongsian ilmu di media sosial. Pengasas Projek Kebun Homegrown, Michael Simon, berkata inisiatif itu digerakkan tanpa sebarang tujuan komersial, sebaliknya untuk menggalakkan orang ramai bercucuk tanam.

Platform YouTube dan TikTok

“Kalau betul-betul nak belajar, kami sediakan platform di YouTube dan TikTok melalui saluran ‘Projek Kebun Homegrown’. Kami memang ajar orang cara tanam sayur di rumah,” katanya ketika ditemui FMT. Michael dan isteri, Ivy Simon, sudah 10 tahun mengusahakan kebun di tepi rumah mereka di Semenyih. Bermula dengan niat menyediakan makanan lebih sihat untuk empat anak, kebun itu kini menempatkan kira-kira 56 jenis tanaman.

Menurut Michael, kos makanan organik yang tinggi di pasaran mendorongnya mencuba sendiri penanaman sayur di rumah sehingga hasilnya melebihi keperluan keluarga. “Saya terfikir kenapa kita tak tanam sendiri. Bila cuba, hasilnya bukan saja cukup, malah lebih,” kata penerbit rancangan berusia 57 tahun itu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Perniagaan kecil dan teknik akuaponik

Kini, hasil kebun itu turut dikembangkan menjadi perniagaan kecil yang menawarkan langganan sayur organik seberat 3.5kg secara mingguan kepada penduduk sekitar Lembah Klang. Selain tanaman asas seperti kangkung, bayam, kailan, pudina, salad dan terung, Michael turut memperkenalkan teknik akuaponik vertikal yang sesuai untuk ruang terhad di kawasan bandar. Kaedah itu menggabungkan akuakultur dan hidroponik dalam sistem menegak, membolehkan penanaman lebih padat dengan penggunaan air jauh lebih rendah.

“Dalam satu kaki persegi, boleh tanam sehingga 36 pokok. Penggunaan air juga boleh jimat sehingga 95% melalui sistem kitar semula,” katanya. Sistem itu turut menggunakan sisa ikan sebagai sumber nutrien semula jadi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia berasaskan petroleum.

Padi secara akuaponik

Michael turut berjaya menanam padi menggunakan kaedah akuaponik dalam tangki dan boleh dituai sehingga empat kali setahun, menyangkal persepsi padi hanya sesuai di sawah. “Padi tak semestinya di sawah. Di bumbung pun boleh kalau guna sistem ini. Sudah tujuh tahun saya buat dan memang dapat hasil,” katanya.

Beliau menekankan kelebihan iklim Malaysia yang sesuai untuk pertanian sepanjang tahun wajar dimanfaatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, terutama ketika ketidaktentuan geopolitik global. “Kenapa perlu import banyak sedangkan tanah kita subur dan panas sepanjang tahun tanpa salji atau fros? Saya harap lebih banyak polisi kerajaan untuk galakkan orang tanam sayur sendiri supaya kos dapat dikurangkan,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga