KUALA LUMPUR, 8 Mei — Pemain tengah kebangsaan Paulo Josue percaya Piala Asean FIFA 2026 yang berlangsung dari 21 September hingga 6 Oktober merupakan platform terbaik untuk Harimau Malaya menamatkan penantian lama negara untuk meraih trofi.
Josue optimis skuad kebangsaan mampu memberikan saingan sengit kepada mana-mana pasukan di Asia Tenggara berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan sebelum ini menentang lawan serantau.
"Saya fikir ia adalah kejohanan yang hebat dan peluang besar untuk Malaysia memenangi piala. Kami tahu kami boleh bersaing dengan pasukan di Asia Tenggara dengan baik. Kami sudah membuktikannya sebelum ini. Agak sukar tetapi saya pasti pasukan boleh melakukan sesuatu untuk pasukan kebangsaan menentang pasukan kebangsaan lain.
"Jadi kami hanya perlu bersedia, berharap jurulatih Peter Cklamovski dapat membawa semua pemain terbaik negara pada masa ini, dan kemudian kami boleh pergi ke sana dan cuba mencapai perkara seperti ini dan ia akan menjadi hebat," katanya selepas sidang media AllStar Legends di sini hari ini.
Josue berkata persiapan rapi perlu dilakukan lebih awal bagi memastikan skuad kebangsaan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran besar pada bulan Oktober.
Beliau juga berharap ketua jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski dapat mengumpulkan pemain terbaik negara untuk mengetuai cabaran Malaysia.
Terdahulu, Malaysia diundi bersama Thailand untuk peringkat kumpulan yang dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos.
Susunan Kumpulan B diumumkan semasa majlis undian rasmi kejohanan yang diadakan di Jakarta hari ini.
Sementara itu, Vietnam telah diletakkan dalam Kumpulan A bersama Singapura, Indonesia, Kemboja dan pemenang perlawanan play-off antara Brunei dan Timor-Leste. — Bernama



