KOTA BHARU, 8 Mei — Kuota pemain import dalam pertandingan dalam negara yang dianjurkan oleh Malaysia Football League (MFL) perlu dikaji semula bagi memastikan struktur kejohanan yang lebih kompetitif dan mampan dari segi kewangan, kata bekas ketua pegawai eksekutif Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid.
Beliau berkata, cadangan untuk mengurangkan kuota pemain import mempunyai rasional tersendiri, terutamanya dalam membantu pasukan menguruskan perbelanjaan sambil mewujudkan lebih banyak peluang untuk pemain tempatan, serta merapatkan jurang antara pasukan besar dan kecil dalam liga.
“Semua pasukan harus diberi peluang untuk bersaing secara sama rata bagi mewujudkan liga yang lebih kompetitif dan mengurangkan kuota pemain import juga boleh meminimumkan risiko pasukan menarik diri daripada liga akibat masalah kewangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Cadangan untuk mengkaji semula kuota pemain import itu dibangkitkan oleh beberapa wakil kelab bola sepak dalam sesi meja bulat yang diadakan oleh MFL minggu lepas.
Ahmad Muzakkir berkata, bagi musim ini, MFL membenarkan kelab Liga Super mendaftar sehingga 15 pemain import bergantung kepada kemampuan kewangan mereka, dengan hanya enam dibenarkan diturunkan pada satu-satu masa.
Beliau mencadangkan agar pasukan yang bertanding dalam AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League Two (ACL Two) dan Shopee Cup dibenarkan menandatangani pemain import tanpa had, tetapi hanya tiga pemain import boleh diturunkan dalam perlawanan domestik.
Melalui pendekatan ini, beliau berkata pemain tempatan akan mempunyai lebih banyak peluang untuk menembusi kesebelasan utama, sambil meringankan beban kewangan kelab, terutamanya berkaitan gaji pemain kerana pengurusan pasukan tidak perlu terlalu bergantung kepada pemain import untuk bersaing dengan kelab yang lebih kukuh dari segi kewangan.
“Ini juga boleh meminimumkan risiko pasukan menarik diri daripada kejohanan MFL, terutamanya Liga Super, akibat masalah kewangan,” katanya.
Ahmad Muzakkir berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menghadkan kelab kepada tiga pemain import dan turut melaksanakan dasar tanpa pemain import pada 2008, yang kemudiannya menyumbang kepada kejayaan Malaysia memenangi Piala AFF 2010.
“MFL mesti mempunyai tekad untuk melihat gambaran yang lebih besar bagi pembangunan bola sepak negara dan bukan sekadar melindungi kepentingan kelab tertentu,” tambahnya. — Bernama



