Loke undur lambang akauntabiliti DAP, perlu tindakan susulan
Loke undur: DAP perlu tindakan susulan

Keputusan Loke Siew Fook melepaskan jawatan pengerusi DAP Negeri Sembilan dilihat mencerminkan akauntabiliti untuk meraih semula sokongan rakyat, namun perlu disusuli tindakan menyeluruh parti itu, kata penganalisis. Syaza Shukri berpandangan, tindakan setiausaha agung DAP itu sebagai mengambil tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat, namun Azmi Hassan melihat pengunduran berkenaan tidak akan memberi kesan positif.

Pengunduran Loke: Tindakan Bertanggungjawab atau Sekadar Lambang?

Azmi berpendapat, ini kerana tanggungjawab kemerosotan DAP pada PRN Johor dan Negeri Sembilan perlu ditanggung semua pimpinan yang perlu berusaha menepis persepsi terutama dakwaan dominasi parti itu. Pada PRN Johor bulan lalu, DAP hilang empat kerusi berbanding 10 dimenanginya empat tahun lalu manakala di Negeri Sembilan, kerusinya berkurangan dua berbanding 11 termasuk DUN Chennah diwakili Loke sebelum kalah, Sabtu lalu.

“Masalah DAP lebih besar kerana membabitan persepsi parti berkenaan terlalu dominan dan angkuh, selain tidak menunjukkan keberkesanan sebagai sebahagian daripada kerajaan. “Meletakkan kesalahan kepada Loke sahaja tidak adil dan tidak akan membawa perubahan terhadap persepsi masyarakat kepada DAP,” kata Azmi kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Loke Umum Letak Jawatan Selepas 22 Tahun

Kelmarin, Loke umum letak jawatan pengerusi DAP Negeri Sembilan yang dipegangnya sejak 22 tahun dan bertanggungjawab terhadap prestasi pada PRN, Sabtu lalu. Syaza dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata, pengunduran Loke tidak menunjukkan DAP berdepan krisis dalaman kerana tiada tekanan terhadapnya untuk melepaskan jawatan.

“Sebaliknya, ia lebih mencerminkan budaya akauntabiliti yang diamalkan parti itu. “Tindakan itu dilihat sebagai usaha parti mengambil tanggungjawab dan mengembalikan keyakinan pengundi,” katanya yang menekankan kepentingan untuk DAP dan Pakatan Harapan (PH) menangani persepsi dilemparkan terhadapnya.

Pembaharuan Kepimpinan atau Penanda Aras?

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula berkata, tindakan Loke berundur daripada jawatan negeri membuka ruang kepada pembaharuan kepimpinan. Katanya, tindakan itu menghantar mesej bahawa jawatan bukan hak milik seseorang, sebaliknya amanah yang perlu dipertanggungjawabkan apabila berlaku kegagalan.

“Loke telah menetapkan satu penanda aras. Persoalannya kini bukan lagi mengapa beliau berundur, tetapi bila lagi yang lain?” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga