PETALING JAYA: Perubahan dasar semata-mata mungkin tidak mampu menandingi politik identiti yang membawa penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH), didasari sentimen perkauman dan kurang senang prestasi semasa kerajaan, kata penganalisis.
Kesan perubahan dasar terlalu kecil
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, usaha mendengar pandangan rakyat dan memperbaiki pentadbiran mungkin mempunyai kesan jika dibuat secara besar-besaran sebelum PRN Johor dan Negeri Sembilan. Dua pilihan raya itu menyaksikan PH kalah dan hilang pemerintahan di Negeri Sembilan yang diterajuinya sejak 2018.
Bercakap kepada FMT, Lau berkata keadaan politik sudah berubah selepas beberapa siri pilihan raya sehingga penambahbaikan dasar dan pelaksanaan kerajaan tidak lagi memberikan kesan besar kepada pola pengundian.
“Langkah itu mungkin membantu, tetapi kesannya terlalu kecil dan tidak mampu mengatasi landskap politik yang wujud ketika ini.
“Jurang antara penggunaan isu etnik untuk memenangi undi dengan usaha memperbaiki pelaksanaan kerajaan kini terlalu besar,” katanya kepada FMT.
Cadangan DAP selepas kekalahan
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim, pada Ahad dilaporkan berkata beliau akan mencadangkan beberapa perubahan dasar kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan kekalahan PH pada PRN Negeri Sembilan. Menurutnya, DAP mesti mendengar suara pengundi, menambah baik dasar kerajaan, memperkukuh perpaduan dalaman dan kekal teguh dengan prinsip partinya.
Walaupun menang sembilan kerusi dan menjadi penyumbang terbesar kepada 11 kerusi PH, DAP berdepan tamparan apabila Setiausaha Agung Loke Siew Fook gagal mempertahankan DUN Chennah. Loke pada Disember tahun lalu turut menyuarakan keperluan melakukan pembetulan selepas parti itu kalah di semua lapan kerusi ditandingi pada PRN Sabah.
Beliau ketika itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai krisis keyakinan serius terhadap DAP dan PH serta berjanji mengumpulkan maklum balas pengundi untuk mempercepatkan agenda reformasi kerajaan. DAP dijadual mengadakan persidangan kebangsaan pada 16 Ogos bagi membincangkan hala tuju parti selepas kemerosotan prestasinya, termasuk kedudukan wakilnya dalam kerajaan.
Persepsi dominasi DAP
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, pula berkata perubahan dasar diperlukan untuk mengubah sokongan terhadap PH tetapi ia turut berdepan persepsi berkait dominasi DAP. Katanya, keadaan itu memberi tempias kepada PH yang membawa kepada kritikan terhadap pentadbiran Anwar.
“Perubahan perlu dilakukan pada peringkat dasar untuk memperbetulkan keadaan. Ini kerana kebanyakan dasar dibentuk kerajaan persekutuan sebelum dilaksanakan di peringkat bawah,” katanya.



