Gerakan telah memecat Tang Jay Son daripada parti dengan serta-merta selepas beliau bertanding di bawah tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pecat kerana langgar disiplin
Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen, dalam kenyataan semalam berkata tindakan Tang merupakan pelanggaran serius disiplin parti kerana bertentangan dengan prinsip kesetiaan kepada parti.
“Gerakan ingin menegaskan bahawa setiap ahli bertanggungjawab mematuhi perlembagaan parti, menghormati keputusan organisasi, dan menjunjung disiplin serta integriti parti pada setiap masa.
“Mana-mana ahli yang bertindak bertentangan dengan kepentingan parti akan menghadapi tindakan tatatertib yang sewajarnya,” katanya.
Pertandingan empat penjuru
Tang semalam disahkan sebagai calon Bersatu bagi kerusi DUN Rahang, sekali gus mewujudkan pertandingan empat penjuru menentang penyandang Siau Meow Kong daripada Pakatan Harapan (PH), Yap Siok Moy daripada Barisan Nasional (BN) dan S. Tinagaran daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Untuk perkembangan terkini PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9. — Bernama



