Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya perlu diberi masa untuk melaksanakan mandat yang diberikan, sekali gus menolak gesaan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal. Beliau berkata, rakyat mahukan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi, bukan terus terperangkap dalam kitaran kempen pilihan raya yang berterusan.
Anwar: Rakyat mahu kestabilan, bukan politik berterusan
“Jadi bagilah masa, kita ada mandat, sampai pilihan raya, bertempurlah pula. Saya tiada masalah dengan perkara itu,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat. Anwar turut berkata kerajaan mendengar suara rakyat yang mahu pentadbiran memberi tumpuan kepada urus tadbir negara, bukannya berpolitik sepanjang masa. “Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan. Rakyat juga mahu ekonomi berkembang. Rakyat pun mahu jangan kita hanya berpolitik sepanjang masa,” katanya.
Soalan daripada PN: Patutkah PRU diadakan lebih awal?
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), yang bertanya sama ada kerajaan wajar ‘mengembalikan suara kepada rakyat’ dengan mengadakan pilihan raya lebih awal, mengambil kira tahap seriusnya krisis Selat Hormuz dan ketidaktentuan politik dalam negara. PRU akan datang hanya perlu diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028, namun timbul spekulasi bahawa pilihan raya mengejut mungkin diadakan pada penghujung tahun ini berikutan hubungan yang semakin tegang antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Ketegangan PH-BN: PRN Johor dan Negeri Sembilan
Kedua-dua gabungan yang menjadi tunjang kepada kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan itu kini berdepan persaingan sengit dalam pilihan raya negeri, yang paling terbaharu menyaksikan kemenangan besar BN pada PRN Johor, Sabtu lalu. BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, manakala PH berkurangan daripada 12 kerusi kepada lapan. Kedua-dua gabungan itu dijangka sekali lagi bersaing pada PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos. DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu susulan keruntuhan pentadbiran kerajaan perpaduan PH-BN di negeri itu yang berpunca daripada pertikaian antara empat Undang dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.



