Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Musa Hassan, perintah bayar RM250,000 kepada Hannah Yeoh
Mahkamah tolak rayuan Musa Hassan, perintah bayar RM250,000

PUTRAJAYA, 14 Julai — Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan kebenaran merayu bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membayar RM250,000 sebagai ganti rugi kepada Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh dalam saman fitnah.

Panel tiga hakim sebulat suara tolak rayuan

Permohonan kebenaran merayu itu ditolak sebulat suara oleh panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azmi Ariffin. Panel memutuskan bahawa sembilan soalan undang-undang yang dikemukakan Musa tidak mempunyai unsur baharu yang memerlukan penentuan mahkamah.

“Kebenaran ditolak kerana gagal memenuhi ambang tinggi yang diperlukan, bersifat fakta sensitif dan bukan kepentingan awam,” kata Hakim Rhodzariah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Panel turut memerintahkan Musa membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Hannah.

Kriteria kebenaran merayu Mahkamah Persekutuan

Bagi mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan, pemohon mesti menunjukkan bahawa rayuan yang dicadangkan menimbulkan persoalan undang-undang atau perlembagaan baharu yang berkepentingan awam yang belum pernah diputuskan dan memerlukan hujahan lanjut.

Pada Januari tahun ini, Mahkamah Rayuan telah memihak kepada Hannah dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 23 Disember 2024 yang menolak samannya terhadap Musa dan memerintahkannya membayar kos RM40,000 kepada Musa.

Latar belakang saman fitnah

Hannah memfailkan saman pada tahun 2020 terhadap bekas ketua polis itu berkenaan kenyataan yang dibuatnya di sebuah forum pada 30 Januari 2020.

Hannah hadir di mahkamah hari ini. Bercakap kepada media selepas prosiding, Hannah mengucapkan terima kasih kepada pasukan undang-undangnya dan mahkamah, dengan berkata keadilan akhirnya tercapai, dan menambah bahawa beliau berharap keputusan itu akan menjadi pengajaran kepada sesiapa yang cuba mengeksploitasi isu berkaitan kaum dan agama.

Musa turut hadir dalam prosiding hari ini. Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili Musa, manakala Razlan Hadri Zulkifli bertindak untuk menteri itu. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga