PH juga raih manfaat politik identiti, kata Kian Ming
PH juga raih manfaat politik identiti: Kian Ming

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) juga pernah meraih manfaat daripada naratif perkauman dalam pilihan raya sebelum ini. Justeru, beliau berpandangan tidak wajar untuk PH menyalahkan politik identiti pihak lawan semata-mata atas kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dalam audiosiar Keluar Sekejap, Ong berkata PH sebelum ini turut menyeru pengundi bukan Melayu supaya bersatu, sama seperti seruan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menggesa orang Melayu memberi sokongan kepada mereka.

Naratif dua hala

“Saya mendengar sidang media Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Khalid Samad (pengarah komunikasi Amanah), bahawa mereka kalah kerana ada naratif perkauman dalam kempen PRN di Negeri Sembilan,” kata Ong.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Bagi saya, ia berlaku dua hala kerana sebelum ini mungkin Pakatan Harapan pun ada manfaat daripada laungan mungkin secara tidak langsung di mana mereka kata, pengundi bukan Melayu mesti bersatu supaya boleh mendapatkan kuasa yang lebih.

“Tetapi sekarang, apabila ada penyatuan parti Melayu dan juga pengundi Melayu untuk BN dan PN, naratif itu mula macam berubah sedikit,” katanya.

Bekas menteri, Khairy Jamaluddin, yang merupakan hos bersama audiosiar itu bersetuju dengan pandangan tersebut sambil berkata PH sebelum ini menggunakan ‘rujukan berkias’ terhadap ‘gelombang hijau’ sebagai isyarat kepada pengundi Cina supaya bersatu menyokong gabungan itu.

Konotasi sama

“Ada konotasi yang sama, lebih kurang sama dengan apa yang disebut oleh calon BN dan PN, iaitu penyatuan Melayu untuk memastikan bahawa kepentingan Melayu dijaga dengan baik.

“Sudah tentu, dalam kedua-dua keadaan, tiada siapa secara terbuka mengatakan ia dilakukan dengan mengorbankan pihak lain. Itu tidak pernah disebut. Dan untuk berlaku adil, PH juga tidak pernah berkata begitu. Tetapi maknanya sama,” katanya.

Khairy turut menolak dakwaan bahawa kempen BN tidak mempunyai kandungan dasar, sambil berkata ucapan dan program yang dihadirinya menyentuh isu seperti pihak berkuasa tempatan, cukai taksiran, peluang pekerjaan dan pelaburan langsung asing, walaupun perkara itu kurang mendapat perhatian.

Seorang lagi hos audiosiar itu, bekas Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, berkata politik identiti telah lama menjadi sebahagian daripada landskap politik Malaysia dan PH tidak sepatutnya terkejut dengan perkara itu.

Naratif lebih baik

Beliau berkata jika PH tidak mahu menggunakan politik identiti, tugasnya ialah menawarkan naratif yang lebih baik bagi meyakinkan orang Melayu supaya mengundi berdasarkan prestasi dan pelaksanaan janji reformasi.

“Tapi kalau anda tidak dapat berjaya untuk meyakinkan dengan naratif anda itu, tidak bolehlah anda tiba-tiba terkejut bahawa politik identiti adalah sebahagian daripada motivasi cara orang mengundi,” katanya.

Peluang terlepas dengan pemimpin tempatan

Ong turut mempersoalkan mengapa PH tidak mengetengahkan ahli majlis tempatan dan ketua kampung Melayu sebagai calon dalam PRN Negeri Sembilan. Beliau memberikan contoh calon PH di Perling, Johor, B Pannir Selvam, yang menurutnya telah membina rekod kukuh dalam bekerjasama dengan masyarakat, khususnya komuniti Melayu.

“Tetapi saya tidak nampak walaupun seorang atau dua calon daripada kalangan ahli majlis tempatan muncul sebagai calon kuat PKR atau Amanah. Itu mungkin boleh mewujudkan peluang untuk menarik pengundi Melayu berdasarkan rekod kerja mereka sebagai ahli majlis di kawasan masing-masing.

“Jadi saya rasa itu merupakan sesuatu yang sedikit aneh untuk saya selepas Pakatan Harapan sudah jadi kerajaan dua penggal,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga