Perkauman Bertopeng: Dinamika Baru yang Lebih Bahaya
Dinamika Baru Perkauman: Terbuka dan Bertopeng

Perkauman telah bertukar wajah. Kini ia lebih kemas, lebih sopan, dan kerana itu lebih sukar dikenali. Berita sebenar dari Negeri Sembilan bukan sekadar siapa menang, tetapi bagaimana perkauman telah melalui metamorfosis yang halus namun berbahaya. Selepas setiap kekalahan, parti yang tewas berkata: “Kami berkempen atas kerja, lawan bermain isu perkauman.” Bunyinya mulia, dan separuh benar. Tetapi soalan “siapa bermain isu perkauman?” sudah membosankan kerana jawapannya sentiasa pihak lawan.

Dua Wajah Perkauman dalam Politik

Eloknya kita tukar kepada tiga persoalan yang lebih jujur. Pertama, politik tidak dapat lari daripada identiti. Setiap komuniti berhak mempertahankan bahasa, agama, dan maruahnya. Memperkukuhkan identiti Melayu bukan jenayah; ia adalah hak, sama seperti hak komuniti lain. Ibn Khaldun menyebut asabiah sebagai enjin yang membina tamadun. Yang salah bukan memperkuat identiti, tetapi asasnya — apabila ia dibina atas ketakutan terhadap yang lain, dan apabila ia menggantikan tadbir urus, bukan melengkapkannya. Identiti yang mencari maruah adalah sah; identiti yang mencari musuh ini merosakkan.

Kedua, ada dua wajah perkauman, dan kita hanya kenal yang pertama. Wajah pertama, perkauman terbuka, masuk terang-terangan dengan laungan “bangsa dan agama terancam”. Ia mengangkat dan melaungkan keistimewaan kaum sendiri. Maka ia mudah dikesan. Yang kedua, perkauman bertopeng, tidak melaungkan kaum sendiri. Ia menuding kepada puak lawan dengan bahasa “kita mesti bersatu menentang mereka yang memecahbelahkan”. Ia tidak meninggikan kaum sendiri, tetapi ia merendahkan kaum lawan. Bunyinya bukan perkauman, tetapi seperti penentangnya. Namun, kedua-duanya membawa ke tempat yang sama: satu kaum dikerah melalui ketakutan terhadap kaum lain.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Perbezaan Antara Terbuka dan Bertopeng

Perkauman terbuka itu pahit, jadi mudah ditolak. Perkauman bertopeng disalut gula, dengan bahasa kesatuan dan kesederhanaan. Jadi ia ditelan tanpa curiga. Tetapi, racun bergula tetap racun. Justeru, kerana manis, ia lebih berbahaya. Ia lulus setiap pemeriksaan yang direka untuk mengenal pasti perkauman lama. Maka, apabila ada pihak berkata ia “hanya berkempen atas prestasi”, itu mungkin benar. Tetapi apabila berbangga pula dengan nisbah pengundi bukan Melayu yang masih meyakinkan, itu bukan bahasa prestasi, tetapi bahasa perkauman juga.

Perbezaan sebenar bukan antara yang bermain isu kaum dan yang berkempen atas prestasi. Kedua-duanya perkauman. Bezanya adalah yang terbuka mengaku namanya, tetapi yang bertopeng menamakan dirinya sesuatu yang lain. Inilah dinamika baru yang perlu kita fahami dengan jujur.

Identiti Bukan Penyakit, Salah Urus Tadbir Biang Keradinya

Jangan salah faham kemenangan ini. Politik identiti bukan barah asing dalam sejarah kita. Ia adalah darah dagingnya. Formula 1957 sendiri dibina atas identiti, di mana setiap parti mewakili kaum masing-masing, tetapi bermuafakat di puncak. Identiti dan akomodasi berjalan serentak. Yang merosakkan bukan identiti, tetapi salah urus terhadapnya — apabila ia bertukar daripada asas perwakilan kepada alat ketakutan. Maka, kemenangan ini bukan negara jatuh ke lubang lama; ia adalah persimpangan.

Realiti di Negeri Sembilan menunjukkan bahawa persefahaman yang memenangi pilihan raya belum bermakna muafakat yang memerintah negeri. Yang pertama cukup dengan satu musuh bersama; yang kedua menuntut satu agenda bersama. Kemenangan boleh dicapai dengan sentimen, tetapi memerintah adalah sukar. Sentimen boleh membakar sebuah kempen, tetapi hanya muafakat boleh menanggung sebuah kerajaan.

Label Politik Kebencian Boleh Menjadi Perkauman Terselindung

Kini, kita perlu adil kepada pihak yang menang. Sudah menjadi kebiasaan pihak yang kalah menjenamakan kemenangan lawan sebagai “politik kebencian”. Tetapi, label itu sendiri satu perkauman bertopeng — cara menolak kesahihan undi majoriti dengan menyifatkannya sebagai berunsur kebencian. Pengundi yang memilih pemenang bukan pembenci. Mereka mengundi atas sesuatu yang sah: keinginan kepada perwakilan yang mendengar mereka, kebimbangan tentang kedudukan yang terpinggir, dan harapan kepada kepimpinan yang memahami. Ini bukan kebencian; ini keinginan kepada maruah.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Menamakannya “kebencian” bukan sahaja tidak adil kepada jutaan rakyat, ia juga satu tindakan memecahbelahkan, membahagikan rakyat kepada yang baik dan yang jahat mengikut undi mereka. Yang menang bukan kebencian, tetapi keinginan sebuah komuniti kepada maruah dan perwakilan. Ini sah dan sepatutnya diraikan.

Persefahaman Senyap Perlu Diberi Nama dan Struktur

Satu realiti yang perlu diakui adalah kemenangan ini dibina bukan atas manifesto bersama, tetapi persefahaman senyap antara dua bekas seteru yang bermuafakat tanpa nama. Ia berfungsi. Inilah buktinya: muafakat, walau senyap, tetap daya yang menentukan. Tetapi, persefahaman yang memenangi pilihan raya belum tentu menjadi muafakat yang memerintah negeri. Yang pertama cukup dengan satu musuh bersama; yang kedua menuntut agenda bersama. Kemenangan boleh dicapai dengan sentimen, tetapi memerintah memerlukan struktur.

Maka, persefahaman itu mesti diberi nama dan struktur. Yang tidak bertulis mudah dinafikan, dan yang tidak berstruktur mudah dilanggar. Tanpa struktur, dua godaan menanti pemenang: pertama, kembali seperti semula sebaik musuh bersama tiada; kedua, berenang di dua kolam — melaung persefahaman di satu pentas, membisikkan sebaliknya di pentas lain. Kalau gagal diterjemah, pengundi yang diangkat dengan sentimen akan menuntut sentimen mereka terus dilayan, dan kerajaan menjadi tawanan kepada bahan bakar yang mengangkatnya. Itu bukan kelemahan, tetapi satu bentuk ketagihan.

Jalan Keluar: Kembalikan Kos Moral

Bagaimana menanganinya? Bukan dengan mengharamkan sentimen. Undang-undang yang menyekat percakapan hanya memindahkannya ke tempat yang lebih tersembunyi. Yang perlu diubah bukan apa yang boleh dikatakan, tetapi apa yang berbaloi dikatakan. Selagi perkauman menang undi, ia akan terus laku dijual. Ia berhenti hanya apabila pengundi berhenti membelinya. Dan kos moral mesti dikembalikan — apabila pemimpin setiap kaum berani menegur perkauman dalam barisan sendiri, bukan hanya barisan lawan.

Sebagai rumusan, sentimen boleh membakar sebuah kempen, tetapi hanya muafakat boleh menanggung sebuah kerajaan. Mereka yang menang dengan sentimen kini terpaksa memerintah dengan sesuatu yang sentimen tidak pernah mampu berikan. Kemenangan ini bukan akhir bagi perpaduan, bukan juga kembalinya perkauman, dan bukan kemenangan satu kebencian. Ia satu ujian: sama ada kita cukup matang mengurus identiti seperti generasi 1957 — diwakili dan dimuafakatkan — atau membiarkannya disalah urus sebagai alat untuk menakut-nakutkan. Pilihan itu di tangan kita. Dan sejarah menunjukkan kita pernah memilih dengan betul.

Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pengerusi teras politik di Musyawarah Nasional. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.