BAKRI: PAS bersedia menyokong Barisan Nasional (BN) dengan menyumbang kerusi yang dimenangi sekiranya gabungan itu tidak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini. Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata BN boleh mencalonkan menteri besar dan partinya tidak akan menuntut sebarang jawatan exco.
PAS tidak tuntut jawatan exco
“Kalau Umno menang, Umno jadi menteri besar. Suka hati Umno nak lantik exco orang dia atau siapa. Kalau sekiranya ada kelemahan (Umno tak cukup kerusi), PAS boleh tampung kelemahan itu bergantung kepada kerusi yang kita menang, mungkin (boleh bentuk) kerajaan dengan ‘simple’ majoriti,” katanya kepada media selepas menghadiri ceramah grand finale sempena PRN Johor di Simpang Jeram, malam tadi.
“Kalau nak majoriti dua pertiga, kalau PAS cukup kerusi, cukup jumlah PAS boleh tampung. Atau tak cukup majoriti campur PAS, PAS boleh tampung. Yang penting kuasa politik Melayu Islam dan bukan Islam tak ekstrem. Kalau dia (Umno) sudah cukup jumlah, tak jadi masalah,” tambahnya.
Sokongan bukan jaminan kerjasama
Berhubung kenyataan Pengerusi BN, Zahid Hamidi, bahawa sokongan PAS kepada calonnya bukan jaminan kerjasama, Hadi berkata ia terpulang kepada presiden Umno itu kerana apa yang penting ialah keikhlasan. “Yang penting dari hati ke hati. Kalau ada jaminan buat tandatangan pun, bersumpah kalau tak ada hati ke hati, tak ada makna,” katanya.
PAS akui tidak cukup kuat di Johor
Mengulas lanjut, Hadi berkata PAS mengakui tidak cukup kuat di Johor dan sanggup menyokong Umno untuk mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam biarpun kedua-duanya pernah bertelagah sebelum ini. Katanya, ia juga sedia bekerjasama dengan MCA dan MIC yang disifatkan sebagai tidak ekstrem.
“Walaupun dahulu PAS dan Umno pernah bertelagah dengan teruk, demi mempertahankan kuasa politik Melayu Islam, kita lupakan semua itu. Jangan takut jika orang Melayu menguasai Johor dan Malaysia. Orang Melayu ialah kaum yang paling tidak fanatik dan paling tidak ekstrem di dunia. Inilah pentingnya kita bekerjasama,” katanya.



