Ratusan ribu rakyat Malaysia melintasi sempadan ke Singapura setiap hari, menempuh kesesakan di Tambak Johor yang mengendalikan kira-kira 350,000 hingga 500,000 pergerakan pengguna setiap hari. Kesesakan, kos pengangkutan tinggi dan kekerapan bas yang terhad antara cabaran utama dihadapi mereka.
Rutin Harian Yang Mencabar
Bagi Mohd Nor Izham, 32, yang bekerja sebagai juruteknik di Lapangan Terbang Changi, setiap hari dia bangun sekitar 3 pagi sebelum keluar rumah pada 4 pagi bagi memastikan sempat tiba di tempat kerja untuk syif jam 7 pagi. “Kalau lambat sikit memang akan sangkut. Perjalanan kadang-kadang ambil masa sejam, kadang-kadang dua jam bergantung keadaan trafik,” katanya yang berulang-alik dengan motosikal. Setiap hari, Izham perlu membayar kira-kira SGD5 (RM15) untuk tol, menjadikan perbelanjaan keseluruhan termasuk kos petrol sekitar SGD100 (RM315) sebulan.
Zamir Abdullah, 27, yang baru tiga bulan bekerja di sebuah hospital di Singapura berkata, cabaran terbesarnya adalah kekerapan bas yang terhad untuk merentasi sempadan, menyebabkan masa menunggu lebih lama terutama pada waktu puncak. “Apabila sampai di terminal, orang sudah beratur panjang. Kadang-kadang hampir sejam juga baru dapat naik bas. Perjalanan keseluruhan boleh makan masa lebih tiga jam,” kata anak bongsu tujuh beradik itu.
Pelajar Juga Hadapi Cabaran Sama
Hon Jiajie, 18, yang mengikuti pengajian asas di Singapore Institute of Management (SIM), lebih memilih berjalan merentasi Tambak Johor selama kira-kira 20 minit berbanding menunggu bas pada waktu puncak. “Apabila saya mahu pulang ke rumah, keadaan sangat sesak. Jadi, saya biasanya tidak mengambil bas dari Kastam Singapura ke Kastam Malaysia. Saya akan berjalan sahaja untuk pulang. Kawan-kawan saya kata mereka tidak akan buat seperti saya kerana ia kedengaran sangat memenatkan,” katanya yang memilih menetap di Johor bersama keluarga berbanding berpindah ke Singapura.
Penyelesaian Yang Dinanti: RTS Link
Selepas bertahun lamanya bergantung kepada bas dan kenderaan persendirian, pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link dilihat penyelesaian yang sudah lama dinantikan. RTS Link dijadualkan beroperasi pada Januari 2027, menghubungkan Bukit Chagar dan Woodlands North dalam tempoh kira-kira lima minit, dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah. Usaha kerajaan persekutuan memperkukuh hubungan pengangkutan antara Malaysia dan Singapura mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan harian pengguna rentas sempadan.
Antara yang paling tidak sabar menantikannya ialah Izham. Dia bercadang menaiki RTS Link sebaik sahaja ia beroperasi kerana yakin mampu membebaskannya daripada kesesakan jalan raya. “Memang saya akan guna. Lagi jimat dan tak perlu hadap sesak macam sekarang,” katanya. Hon turut berkongsi nada sama, menyifatkan RTS Link bakal memudahkan pergerakannya ke tempat pengajian tanpa perlu berjalan jauh. “Saya rasa ia bagus. Ia boleh memberi manfaat kepada saya kerana saya boleh ke universiti lebih cepat memandangkan saya juga mempunyai kelas pada jam 8.30 pagi,” katanya.
Bagi melengkapkan peranan sistem itu, kerajaan persekutuan juga mengetengahkan sistem elevated autonomous rapid transit (e-ART) sebagai penyelesaian kepada cabaran 'last mile connectivity', sekali gus mengurangkan kesesakan di pusat bandar Johor.



