Azmin cadang skim air percuma jika PN menang PRN Johor
Azmin cadang skim air percuma jika PN menang PRN Johor

Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali mencadangkan pemberian air percuma kepada rakyat Johor, jika Perikatan Nasional (PN) diberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini. Katanya, langkah itu wajar dipertimbangkan seiring usaha memastikan setiap isi rumah di Johor menikmati bekalan air bersih tanpa gangguan.

Rungutan rakyat mengenai bekalan air

“Saya sudah sebulan berada di negeri Johor. Setiap daerah telah saya jelajah dan saya masih mendengar rungutan rakyat dalam pelbagai masalah. Pertama, masalah bekalan air. Banyak daerah, banyak kampung bekalan air terputus. Ada yang dicatu. Saya berada dua kali di Sedili, mereka melaporkan tiga bulan berturut-turut tidak ada bekalan air,” katanya ketika berucap pada program Rapat Rakyat Layang-layang di Kampung Chokro, malam tadi.

Pengalaman mentadbir Selangor

Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata, pengalaman mentadbir negeri itu membuktikan inisiatif air percuma boleh dilaksanakan, sekiranya kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat. Jelasnya, wakil rakyat PN di Johor perlu mendesak kerajaan negeri memastikan isu bekalan air diselesaikan demi kepentingan rakyat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kalau saya boleh buat, saya yakin tokoh kita, Abdul Mutalip (Abd Rahim) akan bersuara dalam Dewan Undangan Negeri Johor. Siapa juga yang membentuk kerajaan, pastikan bekalan air bersih mesti dibekalkan kepada setiap isi rumah, setiap daerah, setiap kampung di negeri Johor dan sebaik-baiknya beri air percuma kepada bangsa Johor,” katanya.

Calon PN di Layang-layang

PN mempertaruhkan Mutalip di DUN Layang-layang bagi mencabar calon Barisan Nasional, Chua Jian Boon dan Guna Balakrishnan (Pakatan Harapan) pada PRN Sabtu ini. Azmin berkata, beliau yakin Mutalip akan memperjuangkan isu air di dewan undangan negeri sekiranya terpilih.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga