Dua kanak-kanak antara enam warga Myanmar ditahan dalam serbuan kedai runcit di Melaka
Dua kanak-kanak antara enam warga Myanmar ditahan di Melaka

ALOR GAJAH, 13 Julai — Dua kanak-kanak lelaki berusia satu dan tujuh tahun antara enam warga Myanmar yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Melaka kerana disyaki mengendalikan sebuah kedai runcit yang menjual pelbagai barangan import dari Myanmar serta minuman keras dalam serbuan di Taman Mewah, Kelemak, di sini hari ini.

Empat dewasa hanya miliki pasport

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini, berkata dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, empat dewasa terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki berusia 40-an didapati hanya memiliki pasport, manakala dua kanak-kanak lelaki itu langsung tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati premis yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan luar itu dipercayai telah beroperasi kira-kira dua tahun.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Premis guna konsep Ali Baba

"Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada warga Myanmar itu, premis tersebut dimiliki oleh individu tempatan dan lesen perniagaan dipercayai terbabit dalam pengaturan 'Ali Baba', di mana pemegang lesen tempatan menjadi penama bagi perniagaan yang sebenarnya dikendalikan oleh warga asing," katanya.

"Dalam operasi ini, kami menyasarkan beberapa premis di kawasan Kelemak yang dipercayai menggaji atau dikendalikan oleh warga asing," katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan serentak di seluruh negara di sini hari ini.

Tiga warga India turut ditahan

Dalam operasi sama, Anirwan Fauzee berkata tiga lelaki India yang bekerja di sebuah restoran mamak di Taman Seri Kelemak turut ditahan kerana disyaki tinggal lebih masa di negara ini.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan, ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu sedang bekerja sebagai pelayan, pembuat roti canai dan penyedia minuman.

"Pemeriksaan di restoran itu juga menemui sebuah bilik yang disyaki digunakan untuk aktiviti tambah nilai judi dalam talian. Seorang wanita Indonesia berusia akhir 20-an turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan disyaki bekerja sebagai jurujual perkhidmatan tambah nilai judi dalam talian itu," katanya.

Seramai 64 warga asing diperiksa

Beliau berkata seramai 64 warga asing diperiksa dalam operasi yang dijalankan di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah itu, dengan 40 orang ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 27 lelaki, termasuk dua kanak-kanak, dan 13 wanita, iaitu tujuh warga Indonesia, tujuh Bangladesh, 14 India, lapan Myanmar dan empat Nepal, berusia antara satu hingga 40 tahun.

Beliau berkata beberapa warga asing cuba melarikan diri ke hutan berhampiran dan melintas jalan secara berbahaya, tetapi kesemuanya berjaya ditangkap. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga