RM59.6 juta dikutip Melaka sejak 2012 menerusi caj warisan pelancong
RM59.6 juta kutipan caj warisan Melaka sejak 2012

Kerajaan Negeri Melaka telah mengutip sebanyak RM59.6 juta menerusi caj warisan yang dikenakan ke atas pengunjung luar negeri yang menginap di hotel berdaftar di negeri ini sejak tahun 2012.

Pecahan Kutipan Mengikut Pihak Berkuasa Tempatan

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyumbang kutipan terbesar iaitu RM50.9 juta. Diikuti oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dengan RM6.6 juta, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sebanyak RM1.8 juta, dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mencatat RM209,000.

Beliau berkata, 60 peratus daripada jumlah kutipan, iaitu RM35.75 juta, telah diagihkan kepada kerajaan negeri, manakala baki 40 peratus atau RM23.85 juta diberikan kepada pihak berkuasa tempatan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Peruntukan untuk Pembangunan Pelancongan

“Daripada 60 peratus bahagian kerajaan negeri, sebanyak RM34,668,367.90 telah disalurkan kepada kerajaan melalui Akaun Amanah Caj Warisan Negeri Melaka.

“Daripada jumlah itu, RM28.35 juta telah digunakan untuk pelbagai inisiatif pembangunan industri pelancongan di negeri ini, selaras dengan terma dan syarat yang ditetapkan di bawah arahan Akaun Amanah Caj Warisan Negeri Melaka,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Leng Chau Yen (PH–Bandar Hilir) mengenai kutipan dan pengurusan Caj Warisan Melaka.

Kenaikan Kadar Caj Warisan

Menjelaskan lanjut, Abdul Razak berkata Caj Warisan yang diperkenalkan pada kadar RM2 pada tahun 2012 telah disemak semula kepada antara RM3 dan RM5 mulai tahun 2025 berdasarkan klasifikasi premis pelancongan, selepas mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Beliau berkata peningkatan ketibaan pelancong, terutamanya melalui inisiatif seperti Tahun Melawat Melaka (TMM) dan Zon Bebas Kenderaan (CFZ) di Banda Hilir, telah menyebabkan permintaan tinggi terhadap penginapan, yang secara langsung menyumbang kepada peningkatan kutipan Caj Warisan.

Peningkatan Kutipan 2025

“Berdasarkan statistik kutipan Caj Warisan bagi tahun 2025, kadar semakan menyebabkan kutipan meningkat kepada RM7,601,179, berbanding RM4,781,244 pada tahun 2024.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM2,819,935, atau 58.98 peratus, pada tahun 2025 berbanding 2024. Peningkatan ini memberi kesan positif dalam mengukuhkan hasil negeri untuk menyokong usaha pemuliharaan dan pemeliharaan warisan, serta pembangunan sektor pelancongan Melaka,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga