Gerakan Reset akan memperkenalkan ukuran baharu dikenali Kemampuan Dana Kehidupan Rakyat (KDKR) bagi menilai pendapatan individu supaya dasar dirangka memanfaatkan setiap lapisan masyarakat. Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata tiada maknanya sekiranya negara kaya tetapi rakyat terus dibelenggu kemiskinan terutama membabitkan mereka yang tinggal di bandar.
Contoh Perbandingan Pendapatan
Beliau memberi contoh seseorang yang tinggal di Petaling Jaya yang berpendapatan RM3,000 sebulan keadaannya lebih sukar berbanding penerima jumlah gaji sama di luar bandar kerana perlu menampung kenaikan kos sara hidup. “Jadi mesti dipastikan supaya kekayaan negara benar-benar melambangkan pendapatan dan harta yang dimiliki rakyat,” katanya.
“Justeru, pendekatan dan kaedah mengukur kekayaan negara vis-a-vis kekayaan rakyat perlu dibangunkan. Sekiranya ukuran kekayaan negara ialah contohnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), maka perlu ada ukuran kekayaan rakyat seperti Kemampuan Dana Kehidupan Rakyat (KDKR),” katanya dalam kenyataan.
Tonggak Kemakmuran Bersama
Cadangan KDKR disenaraikan di bawah tonggak kemakmuran bersama, iaitu antara tiga teras utama Konsensus Nasional Baharu selain matlamat bersama dan tadbir urus berperikemanusiaan. Kebelakangan ini, usaha pengelasan semula pendapatan rakyat mengikut kategori T20, M40 dan B40 kembali menjadi perdebatan dalam menentukan agihan subsidi terutama petrol.
Minggu lalu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan tidak mengklasifikasikan secara ketat kumpulan pendapatan seperti T20 dalam merangka dasar subsidi kerana ia tidak mencerminkan realiti sebenar ekonomi secara menyeluruh. “Reset akan membuat penyusunan semula T20, M40 dan B40,” kata Saifuddin yang juga bekas menteri luar negeri.
Fokus Pembangunan Negara
Menurut Saifuddin, pembangunan negara oleh Reset juga fokus dalam memastikan rakyat mempunyai makanan di atas meja, wang dalam poket dan rumah untuk berlindung. Sehubungan itu, beliau berkata dasar dan program pembangunan yang lebih tepat kepada kumpulan sasaran akan dibangunkan Reset digagaskan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin.
“Pembangunan ekonomi mesti memberi tumpuan kepada usaha membesarkan kek ekonomi, meneroka sumber kekayaan baharu dan memastikan hasil pembangunan diagihkan secara cekap, telus dan saksama. Setiap sen yang menjadi keuntungan atau yang diperuntukkan mesti sampai kepada rakyat,” katanya.



