Adakah Bersama mahu berperang tetapi merancang untuk kecundang? Akhirnya, setelah spekulasi berbulan-bulan, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan wadah baharu mereka. Hakikatnya, ia merupakan sebuah parti lama. Bekas pemimpin PKR itu mengambil alih Parti Bersama Malaysia, sebuah parti yang didaftarkan pada 2016, lalu mengunjurkan ia sebagai ‘kuasa ketiga’ — sebagai ejen semak dan imbang serta platform untuk idea-idea segar. Namun, Rafizi sendiri menyifatkan langkah tersebut sebagai ‘misi kamikaze’, membayangkan kemenangan bukan keutamaan.
Misi Kamikaze atau Strategi?
Bagi Rafizi dan rakan-rakan, fokusnya untuk membentangkan platform baharu bagi idea dan visi ‘tanpa kompromi’. Tetapi kedudukan sedemikian menimbulkan persoalan yang membimbangkan: adakah Bersama mahu berperang tetapi merancang untuk kecundang? Tiada sesiapa pun meramalkan parti baharu ini akan melakukan kejutan besar pada pilihan raya akan datang, namun saya ingin lihat apa yang Bersama ingin tawarkan kepada pengundi. Menurut Rafizi, partinya akan menerima pakai pendekatan pelbagai kaum dan platform terbuka jika memegang kuasa. Janji tersebut mengundang tiga persoalan.
Agama
Apa rancangan Bersama untuk menangani ekstremisme yang semakin meningkat, didorong oleh penceramah bebas popular yang mendakwa Islam tidak serasi dengan Malaysia yang dicita-citakan oleh pengasas? Adakah parti itu berhasrat untuk mengawal pengajian agama dan madrasah yang mengekalkan naratif ini?
Pendidikan
Apa pula rancangan Bersama untuk sistem pendidikan? Seterusnya, isu UEC — Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) — sebuah akronim yang asyik mencetuskan kemarahan golongan nasionalis. Adakah parti itu akan mencontohi dua koalisi yang memerintah di Malaysia Timur dan mengiktiraf UEC? Adalah lebih baik Bersama terus menghadapi cabaran ini berbanding menumpukan perhatian pada janji-janji seperti gaji guru yang lebih baik atau pusat jagaan harian percuma untuk ibu bapa. Adakah Bersama berani mencadangkan supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu? Ini, tanpa ragu, merupakan ranjau politik — dan tanpa campur tangan Ilahi, sukar untuk membayangkan pengundi Melayu terima idea sebegitu. Namun, saya berminat untuk mengetahui pandangan Rafizi dan Nik Nazmi mengenai perkara ini. Jika Bersama benar-benar mendesak agar UiTM dibuka kepada bukan Melayu, saya pasti akan menyokong mereka. Anda mendengarnya di sini terlebih dahulu.
Representasi
Seterusnya berkenaan representasi kaum. Apakah visi Bersama untuk keseimbangan kaum dalam kalangan guru di sekolah kerajaan dan anggota pasukan keselamatan? Tanpa kepelbagaian dalam pendidikan, Malaysia berisiko membesarkan anak-anak yang tidak pernah melihat realiti masyarakat pelbagai kaum. Begitu juga, tanpa kepelbagaian dalam pasukan keselamatan kita, negara akan bergelut untuk mempertahankan negara dan melindungi rakyat. Ujian sebenar Bersama sepatutnya menangani persoalan-persoalan sukar ini berbanding menuding jari kepada Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan. Itu skrip lapuk yang terlalu kerap dimainkan oleh pihak pembangkang. Rakyat mahu keberanian. Bersama mesti berani menangani ekstremisme, reformasi pendidikan, dan representasi. Ini perjuangan yang penting.
Perkara ini membawa saya kembali kepada ‘misi kamikaze’ Rafizi. Ia kedengaran murni, ya, tetapi ia juga berisiko kedengaran seperti menyerah kalah sambil memakai celoreng prinsip. Hakikatnya ada perbezaan antara berperang lalu kecundang dengan merancang untuk tersadung di dalam gelanggang. Bagaimanapun, saya mengalu-alukan penyertaan Bersama dalam kancah ini. Suara baharu, biarpun berisiko, menyemarakkan warna demokrasi. Ujian sebenar adalah sama ada Bersama dapat mengejutkan kita dengan kemenangan yang bermakna — atau sama ada ia sekadar akan menghampakan pengundi.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



