Dua warga emas rugi RM2.7 juta akibat pelaburan palsu
Dua warga emas rugi RM2.7 juta akibat pelaburan palsu

Dua warga emas rugi RM2.7 juta akibat pelaburan palsu

GEORGE TOWN: Dua warga emas, termasuk seorang bekas pengarah syarikat, mengalami kerugian hampir RM2.7 juta selepas diperdaya oleh sindiket pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi platform pelaburan berasingan, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 62 tahun yang bekerja sebagai penjaga jentera. Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1.294 juta selepas terjerat dengan skim pelaburan dalam talian dikenali sebagai 'Global Finance Trends XA'.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Seberang Perai Tengah menerima laporan daripada mangsa pada Khamis. Lelaki itu dikatakan mula tertarik dengan skim tersebut selepas melihat iklan pelaburan di Facebook pada Mac lepas, sebelum dihubungi oleh seorang suspek wanita menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Menurutnya, suspek menawarkan pelaburan yang didakwa berasal dari China atas nama syarikat Citic Wealth Advisors Sdn Bhd, dengan menjanjikan keuntungan yang tinggi. Pada peringkat awal, suspek hanya memberi tips pelaburan tempatan dan ramalan keuntungan yang didapati tepat, sehingga menyebabkan mangsa mula yakin terhadap skim tersebut.

Jelasnya, mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi 'Global Finance Trends XA' untuk pendaftaran dan urusan pelaburan. Mangsa kemudian membuat 28 transaksi pembayaran berjumlah RM1.397 juta ke akaun CIMB atas nama syarikat itu antara 6 April hingga 4 Mei lalu.

Azizee berkata, lelaki itu hanya menerima pulangan sebanyak RM103,000 sebelum menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM1 juta yang dipaparkan dalam aplikasi tersebut.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang bekas pengarah syarikat wanita berusia 72 tahun turut mengalami kerugian RM1.403 juta selepas diperdaya oleh sindiket pelaburan dalam talian yang menggunakan nama Shanghai Futures Exchange.

“Mangsa berkenalan dengan seorang lelaki warga asing menerusi Facebook pada Julai 2023, sebelum hubungan diteruskan melalui aplikasi Line. Suspek turut menghantar gambar kad pengenalannya bagi meyakinkan mangsa bahawa dirinya benar-benar wujud, sebelum menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

“Wanita itu kemudian diminta melayari satu laman web menerusi pautan yang diberikan bagi tujuan pendaftaran keahlian dan urusan pelaburan.”

Antara 27 November tahun lepas hingga 5 Februari lalu, mangsa melakukan 53 transaksi wang berjumlah RM1.403 juta ke 30 akaun bank berbeza, termasuk 26 akaun individu dan empat akaun syarikat.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan RM30 juta yang dipaparkan dalam aplikasi, selain akaunnya disekat dan suspek pula gagal dihubungi.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga