Wabak Ebola strain Bundibugyo yang membawa maut di timur Republik Demokratik Congo (DRC) terus merebak, dengan 506 kematian dilaporkan setakat ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa. Wakil WHO ke DRC, Anne Ancia berkata skala sebenar wabak itu masih belum dapat dipastikan sepenuhnya dan terlalu awal untuk menyatakan keadaan sudah stabil, lapor Xinhua.
Kes Disahkan dan Kematian Meningkat
Ancia berkata demikian kepada pemberita di Geneva menerusi pautan video dari Bunia, ibu kota Wilayah Ituri yang menjadi pusat penularan wabak itu. Beliau berkata sehingga 4 Julai, DRC merekodkan 1,561 kes disahkan, termasuk 506 kematian dan 254 kes sembuh, manakala lebih 10,000 kontak rapat sedang dipantau. Beliau berkata kerajaan tempatan, dengan sokongan WHO sedang menjejaki sejarah setiap kes bagi mengenal pasti rantaian penularan dan mengasingkan kontak rapat.
Kapasiti Pusat Rawatan dan Cabaran
Ancia turut memaklumkan bahawa pusat rawatan kini beroperasi pada tahap kapasiti maksimum, manakala petugas perubatan terus berkhidmat kepada komuniti terjejas meskipun berdepan cabaran besar. Wabak semasa diisytiharkan pada 15 Mei dan merebak di kawasan yang terjejas akibat konflik aktif, perpindahan penduduk serta perkhidmatan kesihatan yang terbeban. Walaupun kapasiti ujian harian dipertingkat dan makmal diwujudkan di wilayah terjejas, Ancia memberi amaran mengenai kekurangan bekalan penting. “Hari ini, kami tidak mempunyai ambulans yang mencukupi,” katanya, sambil memberi amaran bahawa semua keperluan di Wilayah Ituri tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.
Ujian Klinikal untuk Terapi Baharu
Sementara itu, beliau mengumumkan ujian klinikal bermula pada 2 Julai bagi menilai dua terapi yang berpotensi untuk strain Bundibugyo. Walaupun belum ada rawatan yang diluluskan dan terbukti berkesan bagi penyakit itu, Ancia berkata lebih 1,200 dos rawatan akan diberikan secara tunggal atau gabungan bagi menilai sama ada ia mampu meningkatkan peluang pesakit untuk terus hidup.



