PETRA kaji pembangunan tiub telaga tangani krisis air masa depan
PETRA kaji tiub telaga tangani krisis air masa depan

PETRA kaji pembangunan tiub telaga tangani krisis air

LIPIS, 4 Mei — Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang menjalankan kajian pembangunan tiub telaga sebagai langkah persediaan menghadapi potensi krisis air pada masa hadapan.

Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata kajian yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) itu bertujuan mengenal pasti sumber air baharu sebagai pelan sokongan sekiranya berlaku gangguan bekalan.

“Kita kini berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti kemarau dan curahan hujan yang rendah. Berdasarkan ramalan, cuaca panas dijangka berterusan sehingga Ogos, yang boleh menjejaskan sumber air.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Namun, melalui usaha semua agensi berkaitan, bekalan air di seluruh negara masih terkawal. Walau bagaimanapun, pengguna mesti memainkan peranan penting dalam mengurangkan pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Selamat Air Raya di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Pada 21 Mac lalu, laporan Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-INWEH) memberi amaran bahawa dunia kini memasuki era ‘kebankrapan air global’.

Abdul Rahman berkata, penggunaan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah lebih tinggi iaitu sekitar 223 liter per kapita sehari berbanding 165 liter per kapita sehari yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Tahap penggunaan air yang tinggi ini mesti dikurangkan. Jika orang ramai tidak memainkan peranan, kita berisiko menghadapi krisis air. Semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memastikan perkara ini dapat dielakkan,” katanya.

Beliau menambah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga sedang melaksanakan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) yang menyasarkan sekurang-kurangnya satu juta pengguna di seluruh negara sepanjang tahun 2026.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang penggunaan air yang cekap dan kepentingan mengelakkan pembaziran bagi memastikan kelestarian bekalan air negara,” katanya.

Pada program itu, SPAN turut mengagihkan zakat wakalah berjumlah RM104,000 kepada 200 orang pelajar dari sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga