Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah mengeluarkan 85 notis kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) terhadap pemilik dan penghuni premis yang gagal mematuhi peraturan larangan merokok antara Januari dan April tahun ini.
Langkah penguatkuasaan
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Azman Yacob, berkata daripada jumlah tersebut, 43 notis melibatkan premis makanan, diikuti kedai runcit (18), kedai serbaneka (1), dan premis lain (23 notis).
Beliau berkata notis itu dikeluarkan berikutan aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan ke atas 6,209 premis di seluruh negeri.
"Daripada jumlah itu, 98 peratus didapati mematuhi keperluan Akta 852 dengan mempamerkan tanda larangan merokok dan larangan menghisap vape seperti yang ditetapkan.
"Bagi premis yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 18(1), tindakan penguatkuasaan telah diambil termasuk pengeluaran notis kesalahan kepada pemilik atau penghuni," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tumpat catat notis tertinggi
Dr Mohd Azman berkata Tumpat mencatatkan jumlah notis tertinggi iaitu 20, diikuti Kuala Krai (19) dan Kota Bharu (17).
"Tindakan penguatkuasaan adalah langkah terakhir setelah pendekatan advokasi dan pendidikan kesihatan telah dijalankan kepada pemilik premis.
"Pemilik premis diminta melaksanakan tanggungjawab mereka dengan memastikan tanda larangan merokok dan larangan menghisap vape dipamerkan di premis mereka bagi memastikan keberkesanan inisiatif kesihatan awam," katanya.



