Kemerosotan DAP di Johor bukan anomali, kata penganalisis
Kemerosotan DAP di Johor bukan anomali, kata penganalisis

Kemerosotan prestasi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu menjadi isyarat bahawa penolakan terhadap parti itu, terutama dalam kalangan pengundi bukan Melayu, bukan lagi masalah terpencil, kata penganalisis.

Kekalahan di kubu kuat DAP

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata walaupun prestasi DAP pada PRN Johor tidak seburuk dialaminya pada PRN Sabah tahun lalu, kehilangan beberapa kerusi yang dianggap kubu kuat tetap menjadi tamparan hebat kepada parti itu dan Pakatan Harapan (PH).

“Jika keputusan di Sabah (kalah semua lapan kerusi) sebelum ini dianggap sebagai satu anomali, di Johor pula memberi isyarat jelas mereka (pengundi bukan Melayu) tidak berpuas hati dengan pencapaian DAP walaupun parti itu berada dalam kerajaan,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“DAP mempunyai kubu kuat di Johor tetapi akhirnya tewas, malah ada dengan majoriti agak besar.”

Faktor kehadiran Bersama

Azmi berkata kekalahan DAP juga mungkin berpunca daripada kehadiran Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang memecahkan undi dan melemahkan PH, khususnya PKR dan DAP.

Pada PRN semalam, DAP kehilangan empat kerusi disandangnya selepas Johor Jaya, Tangkak, Jementah dan Perling dirampas MCA serta MIC yang mewakili Barisan Nasional (BN). Keputusan itu menyebabkan prestasi DAP merosot daripada 10 kerusi pada PRN 2022 kepada hanya enam kerusi kali ini.

DAP mempertahankan Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Stulang, Skudai dan Senai. Cubaannya merampas Bekok, Parit Raja, Tiram, Bukit Permai, Paloh, Yong Peng dan Pekan Nenas juga gagal.

Pandangan Wong Chin Huat

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway pula berkata kemerosotan sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap PH kini turut merebak ke kawasan yang selama ini dianggap sebagai benteng tradisi gabungan itu.

Beliau berkata ketidakpuasan hati pengundi bukan Melayu terhadap PH menjadi antara faktor yang menghakis kekuatan gabungan berkenaan pada pilihan raya itu. Menurutnya, keadaan itu turut memberi ruang kepada MCA untuk meraih semula sebahagian sokongan masyarakat Cina.

“MCA berjaya memulihkan sedikit sokongan pengundi Cina, selain mendapat manfaat daripada perpindahan undi penyokong Perikatan Nasional (PN) susulan strategi yang dimainkan PAS,” katanya.

Beliau merujuk gesaan PAS supaya penyokongnya mengundi BN di kerusi tidak ditandingi PN.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga