Pakar: Zara Qairina tidak tunjuk corak kemurungan berat atau niat bunuh diri
Zara Qairina tidak tunjuk corak kemurungan berat

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini diberitahu bahawa Zara Qairina Mahathir bukan kanak-kanak yang secara konsisten menunjukkan corak kemurungan berat, pengasingan diri, tiada harapan atau niat membunuh diri. Pakar psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli, 51, yang juga kaunselor berdaftar, menyatakan dapatan itu adalah hasil penilaian keseluruhan profil perkembangan Zara sejak lahir hingga berusia 13 tahun.

Tiada sejarah cubaan bunuh diri yang jelas

Berdasarkan data yang dianalisis bagi menyediakan laporan profil autopsi psikologi Zara Qairina, Aishah yang berpengalaman kira-kira 18 tahun berkata, tiada sejarah percubaan bunuh diri yang jelas dalam kehidupan remaja itu sebelum ditemui tidak sedar diri di bangunan asrama pada 16 Julai 2025.

“Dalam konteks teori psikologi berkaitan risiko bunuh diri, termasuk model interpersonal, penilaian perlu melihat sama ada wujud rasa tidak diterima, menjadi beban, kemampuan untuk mencederakan diri secara serius serta gabungan faktor akut yang membawa kepada risiko. “Dalam kes Zara, data tersedia tidak menunjukkan secara kukuh keseluruhan elemen itu wujud secara konsisten dan dominan sebelum kejadian,” katanya ketika membaca kenyataan saksi di depan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues kematian remaja itu hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pendekatan Psychological Autopsy digunakan

Saksi ke-76 itu berkata, pendekatan Psychological Autopsy digunakan bagi menyediakan laporan profil autopsi psikologi Zara Qairina, iaitu kaedah penilaian retrospektif dalam bidang psikologi forensik untuk memahami keadaan mental, emosi, sosial, tingkah laku, hubungan interpersonal, faktor persekitaran dan faktor psikologi seseorang individu sebelum kematian.

Menurutnya, profil autopsi psikologi Zara Qairina dibina bertujuan menilai sama ada, daripada perspektif psikologi, terdapat asas kukuh untuk menyokong remaja itu mempunyai kecenderungan, niat atau keadaan psikologi konsisten dengan perbuatan menamatkan nyawa sendiri. “Saya juga menilai sama ada terdapat faktor psikologi, sosial, keluarga, persekitaran sekolah, hubungan rakan sebaya, pengalaman asrama, catatan peribadi, komunikasi telefon dan maklumat saksi yang relevan bagi membantu mahkamah memahami keseluruhan konteks kehidupan Zara sebelum kejadian.”

Bahan diteliti termasuk diari dan transkrip panggilan

Beliau berkata, antara bahan diteliti termasuk dokumen berkaitan kehidupan Zara Qairina, gambar, video, diari, catatan peribadi, dokumen sekolah, laporan psikologi atau psikiatri, laporan pemeriksaan tulisan tangan, laporan forensik dokumen serta transkrip perbualan telefon antara remaja itu dengan ibunya, Noraidah Lamat. Selain itu, sesi temu bual beberapa individu mempunyai pengetahuan langsung atau hubungan rapat dengan Zara Qairina turut dilakukan, termasuk ibu, ahli keluarga, pengasuh, jiran, rakan sekolah rendah dan menengah, guru serta warden.

Jelasnya, profil psikologi Noraidah turut dibangunkan kerana wanita itu individu paling rapat dengan Zara Qairina, selain mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perkembangan kognitif, emosi, sosial, tingkah laku, minat, rutin harian dan pengalaman hidup remaja terbabit.

Faktor luaran dan situasional perlu dinilai

Aishah berpendapat, data tersedia lebih menyokong keperluan untuk menilai secara berhati-hati faktor luaran, situasional serta interpersonal yang berlaku dalam persekitaran sekolah dan asrama sebelum kejadian, berbanding membuat kesimpulan mudah bahawa kematian Zara Qairina berpunca daripada konflik keluarga atau keadaan psikologi dalaman semata-mata. Beliau turut berpendapat, hubungan Zara Qairina dengan ibunya tidak wajar dilihat sebagai faktor utama secara terasing, sebaliknya hubungan itu secara keseluruhan lebih banyak menunjukkan elemen kelekatan, kasih sayang, sokongan emosi dan komunikasi terbuka.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

“Dalam penilaian saya, tidak tepat untuk membuat kesimpulan psikologi berdasarkan satu kategori bahan sahaja seperti catatan tertentu tanpa mengintegrasikan keseluruhan data perkembangan, temu bual, transkrip panggilan, pemerhatian saksi, sejarah sekolah, sejarah keluarga, faktor perlindungan dan situasional hampir dengan kejadian. “Kesimpulan profesional saya adalah profil psikologi Zara secara keseluruhan menunjukkan seorang kanak-kanak dan remaja awal yang ceria, sosial, aktif, penyayang, pemurah, bermotivasi, mempunyai aspirasi serta mempunyai hubungan rapat dengan ibunya. “Walaupun Zara mempunyai sensitiviti sosial dan cabaran perkembangan remaja seperti konflik rakan sebaya, kecemburuan persahabatan, tekanan asrama dan beberapa tingkah laku maladaptif bersifat situasional, faktor tersebut tidak mencukupi secara sendirinya untuk menyokong kesimpulan Zara mempunyai niat membunuh diri yang stabil atau terancang.”

Latar belakang kejadian

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.