Seorang pakar psikologi kanak-kanak hari ini memaklumkan Mahkamah Koroner bahawa terdapat unsur buli, khususnya dalam bentuk lisan dan siber, terhadap Zara Qairina Mahathir berdasarkan hasil penilaiannya ketika menyediakan laporan profil autopsi psikologi remaja itu.
Dapatan Temu Bual dan Dokumen
Dr Noor Aishah Rosli, 51, yang berpengalaman kira-kira 18 tahun berkata, dapatan itu diperoleh hasil temu bual dengan rakan-rakan Zara Qairina di sekolah menengah dan beberapa dokumen bagi melengkapkan laporan berkenaan. “Saya mendapati wujud unsur buli verbal, saya tak nampak buli fizikal … buli melabelkan dia, ‘ignore’ dia, ada juga ditulis di dinding, buli siber pun berlaku, cuma saya tidak boleh akses semua sebab telah dipadam,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Kenyataan Saksi dan Hubungan Keluarga
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina. Noor Aishah berkata, Zara Qairina mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan di sekolah rendah dan remaja itu digambarkan sebagai seorang yang ceria serta suka bersedekah, namun isu berkaitan buli timbul ketika sekolah menengah. “Dikatakan Zara pernah sebut dengan ibunya tentang ‘kakak-kakak’ yang jahat, jumpa di pusat beli-belah mengelak, di sekolah ada jamuan Hari Raya mengelak, tidak selesa keadaan itu,” katanya.
Analisis Catatan Diari
Mengenai catatan diari remaja itu, beliau berkata, penggunaan perkataan kesat terhadap ibu pelajar itu tidak boleh dijadikan penentu kepada hubungan mereka kerana diari ialah medium luahan perasaan bersifat sementara ketika berdepan emosi tertentu. “Dalam membuat penilaian seseorang manusia, tidak boleh berdasarkan satu faktor sahaja … ia luahan seorang remaja yang belum matang … diari semata-mata tidak cukup kuat,” katanya.
Faktor Keluarga dan Kesihatan Mental
Beliau berkata, perpisahan ibu bapa bukan faktor penyumbang kepada masalah dihadapi Zara Qairina kerana remaja itu tidak pernah melihat keganasan rumah tangga sebaliknya membesar dalam persekitaran positif. Noor Aishah juga memaklumkan, tiada rekod menunjukkan Zara Qairina mempunyai diagnosis penyakit mental serius atau sejarah rawatan psikiatri konsisten dengan risiko bunuh diri yang tinggi. “Saya juga menilai hubungan Zara dengan ayahnya. Walaupun tidak tinggal bersama dan ayahnya tidak sentiasa hadir secara fizikal, Zara masih mempunyai hubungan komunikasi melalui telefon dan WhatsApp,” katanya.
Latar Belakang Kes
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi. Prosiding inkues dijadual bersambung esok dengan saksi sama.



