PUTRAJAYA, 27 April — Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membuka siasatan terhadap pihak yang disyaki melakukan pembakaran terbuka berhubung kebakaran hutan di kawasan gambut di Kampung Baru, Kuala Abang, Dungun, Terengganu pada 22 April lalu.
Siasatan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
JAS memandang serius insiden kebakaran hutan di kawasan gambut itu dan siasatan telah dimulakan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Jabatan ingin menegaskan bahawa jika siasatan mendapati sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta, atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Kebakaran melibatkan 32 hektar tanah rizab kerajaan
JAS menambah bahawa pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kebakaran dan mendapati kebakaran itu melibatkan kawasan tanah rizab kerajaan seluas kira-kira 32 hektar.
“Kebakaran telah menghasilkan asap tebal yang berpotensi menjejaskan kualiti udara dan memberi kesan kepada penduduk berhampiran serta kawasan sensitif, termasuk beberapa institusi pendidikan,” katanya.
Sehubungan itu, JAS selaras dengan bidang kuasanya di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, turut mengambil beberapa langkah termasuk pemantauan kualiti udara secara berterusan melalui pemasangan peralatan pemantauan mudah alih (GRIMM) di kawasan berhampiran lokasi kebakaran.
“Setakat ini, JAS Terengganu telah memasang satu unit peralatan pemantauan kualiti udara di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, dan satu unit pemantauan tambahan di kawasan terjejas.
“Jabatan juga telah memberikan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada pihak berkaitan, termasuk pejabat daerah dan pejabat pendidikan daerah. Bacaan IPU di kawasan terjejas setakat jam 8 pagi hari ini ialah 88, iaitu pada tahap sederhana,” katanya.
Kerjasama dengan JBPM dan agensi lain
JAS juga sedang memantau kebakaran dari udara menggunakan dron untuk menilai sejauh mana kawasan terjejas, dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain dalam usaha mengawal dan memadamkan kebakaran.
Jabatan itu turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, terutamanya ketika cuaca panas dan kering yang boleh mempercepatkan penyebaran kebakaran.
“JAS akan terus memantau keadaan dengan rapi dan memastikan langkah-langkah kawalan pencemaran dilaksanakan untuk melindungi kesihatan awam dan alam sekitar,” katanya. — Bernama



