PUTRAJAYA, 14 Mei — Boon Siew Honda Sdn Bhd akan memanggil balik 430 unit motosikal Honda, model CMX500A dan CBR650RAC, bermula 25 Mei selepas pengesanan isu teknikal yang boleh menjejaskan keselamatan kenderaan.
Butiran Panggilan Balik
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, dalam kenyataan semalam, berkata panggilan balik ini melibatkan model yang dikenal pasti untuk pemeriksaan dan tindakan pembetulan pada komponen berkaitan.
Panggilan balik melibatkan 160 unit model CMX500A bagi tahun pengeluaran 2023-2024, yang berkaitan dengan pelonggaran skru kunci hendal, manakala 270 unit model CBR650RAC (2024-2025) berkaitan dengan litar pintas pada abah-abah pendawaian.
Prosedur untuk Pemilik
“Semua pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd untuk proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan mereka.”
“Pemilik kenderaan juga dibenarkan untuk masuk terus ke mana-mana pusat perkhidmatan berhampiran di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana komponen yang dikenal pasti terlibat akan diganti dengan kos ditanggung oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd.
“Semua pemilik kenderaan model yang terlibat diminta membuat perancangan supaya proses panggilan balik dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya.
Pemantauan oleh JPJ
Aedy Fadly berkata, pihaknya akan memantau pelaksanaan proses panggilan balik ini dan komited untuk memastikan semua unit kenderaan yang terlibat akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat untuk digunakan di jalan raya.
Mengenai proses panggilan balik ini, pemilik kenderaan boleh pergi ke mana-mana pusat jualan/perkhidmatan Boon Siew Honda Sdn Bhd berhampiran atau menghubungi talian hotline: 04-506 3333 atau 03-6144 0963, e-mel: [email protected] atau layari: https://boonsiewhonda.com.my. — Bernama



