Diesel dan lori tangki bernilai RM200,000 dirampas di jeti nelayan
Diesel, lori tangki RM200,000 dirampas di jeti nelayan

IPOH: Cawangan Perak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas diesel dan sebuah lori tangki bernilai RM202,211.20 dalam serbuan di sebuah jeti nelayan di Hutan Melintang awal semalam.

Pengarah KPDN Perak, Kamalludin Ismail, berkata operasi pada pukul 3 pagi itu dilakukan selepas pemantauan selama seminggu terhadap pergerakan lori tangki yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

Operasi tersebut membawa kepada pengesanan sebuah lori tangki yang dipercayai membawa 21,840 liter diesel dari Lembah Klang.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Hasil siasatan mendapati terdapat percanggahan dalam maklumat yang diberikan dan rantaian bekalan yang mencurigakan.

“Dua lelaki tempatan berusia 60 dan 30 tahun, yang dikenal pasti sebagai pemilik tapak dan pemandu lori, ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata pemilik tapak gagal mengemukakan dokumen kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan bagi urusan melibatkan barang kawalan.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa merampas sebuah lori tangki seberat 27 tan, 21,840 liter cecair yang dipercayai diesel, dan beberapa dokumen berkaitan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga