41 kes penyakit akibat cuaca panas, majoriti kelesuan haba
41 kes penyakit cuaca panas, majoriti kelesuan haba

KUALA LUMPUR: Sebanyak 41 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan setakat ini dengan majoriti membabitkan kes kelesuan haba, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Perincian kes dan langkah berjaga-jaga

Daripada jumlah itu, katanya, 35 kes membabitkan kelesuan haba, diikuti tiga kes strok haba akibat aktiviti fizikal, dua kes strok haba dalam ruang tertutup, manakala satu kes kekejangan haba. “Bagaimanapun, setakat semalam (24 April), tiada kes baharu berkaitan cuaca panas dilaporkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Resipi “Mai Kurang” dan program Rewang Bersama Komuniti di Memorial Tun Abdul Razak di sini.

Lima negeri dikesan cuaca panas Tahap 1

Sementara itu, Dzulkefly berkata, setakat 6 pagi tadi, lima negeri merekodkan cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga membabitkan Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Sik), Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai), Perak (Kuala Kangsar dan Hulu Perak) serta Jerantut di Pahang. Menurutnya, daerah Machang di Kelantan merekodkan cuaca panas Tahap 2 atau gelombang haba.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Krisis bekalan global dan langkah penjimatan tenaga

Dalam pada itu, Dzulkefly menyokong kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian susulan krisis bekalan global. Katanya, langkah itu selaras pendekatan kerajaan menekankan tatakelola kewangan berhemat, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa. “Langkah segera perlu dipertimbangkan bagi memastikan Malaysia tidak berdepan situasi catuan tenaga seperti yang berlaku di beberapa negara lain.”

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan sedang memperhalusi langkah lebih drastik bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan krisis bekalan global, termasuk mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian. Jelasnya, tindakan segera itu perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak terjerumus situasi catuan tenaga seperti dihadapi beberapa negara lain dan keputusan muktamad akan ditentukan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga