KUALA LUMPUR, 8 Mei — Ubat rawatan leukemia yang diperoleh melalui sumbangan awam untuk seorang pesakit wanita dari Limbang, Sarawak, akan disumbangkan kepada penerima lain yang memerlukan selepas pesakit itu meninggal dunia sebelum menerima rawatan.
Keluarga redha dengan ketentuan
Sarimah Mingai, ibu kepada arwah Nurul Fithriyani Mahrip, 31, berkata keluarganya telah redha dengan perkara itu — segala usaha untuk memberikan rawatan baharu kepada anaknya tidak berhasil selepas Nurul Fithriyani dijangkiti kuman semasa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Walaupun arwah tidak sempat menggunakan ubat itu, kami berharap ia dapat membantu pesakit lain yang memerlukan rawatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Perubatan Pakar Pusrawi Kuala Lumpur semalam.
Menurutnya, keluarga itu berpindah ke Kuala Lumpur pada Oktober 2024 dan menukar tiga buah rumah sewa bagi memudahkan rawatan anaknya. Nurul Fithriyani disahkan menghidap leukemia kira-kira dua bulan selepas berkahwin.
Beliau berkata arwah yang meninggal dunia pada 11 April itu sebelum ini aktif dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang serius, malah menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin.
Ucapan terima kasih kepada penderma
Sarimah dan suaminya, Mahrip Onga, merakamkan penghargaan kepada semua penderma dan pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur dan PPUM yang membantu dalam usaha mendapatkan rawatan untuk arwah.
Pada 5 April, Fadillah berkesempatan melawat Nurul Fithriyani dan memberikan bantuan kepada ibu bapa serta suaminya, Mohd Taufiq Abd Rahim.
Sarimah berkata anaknya telah menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi, pemindahan sumsum tulang dan pemindahan sel stem, tetapi kesihatannya semakin merosot.
Penjelasan doktor
Sementara itu, perunding hemato-onkologi Pusat Perubatan Pakar Pusrawi Kuala Lumpur, Dr Mohd Hishamuddin Harun, berkata arwah menghidap kanser darah (Relapsed or Refractory B-cell Acute Lymphoblastic Leukaemia atau R/R B-ALL), iaitu sejenis kanser darah agresif yang memerlukan rawatan intensif dan melibatkan kos tinggi.
Beliau berkata pilihan seterusnya adalah rawatan antibodi atau ‘terapi sasaran’, tetapi ubat tersebut tidak terdapat di Malaysia dan perlu diimport dari luar negara.
“Kami berjaya mempercepatkan proses mendapatkan lesen dan bekalan ubat, tetapi pesakit meninggal dunia akibat jangkitan sebelum rawatan dapat dimulakan,” katanya.
Menurutnya, keputusan untuk mendermakan ubat dan baki wang kepada pesakit lain dibuat selepas mendapatkan pandangan panel Syariah hospital. — Bernama



